HARGA emas yang naik hingga mencecah RM700 segram membuatkan ramai tertanya-tanya sama ada harganya akan menjunam atau tidak selepas ini.Penyimpan emas, Irfan Said, berpandangan turun naik harga adalah perkara biasa tetapi perkara yang paling penting adalah tujuan sebenar seseorang itu membeli emas. Jelas Irfan, sama ada harga emas yang turun, naik menjadi masalah atau tidak bergantung kepada niat pembeli itu sendiri."Jika membeli emas untuk kejar untung cepat, buat trading atau hanya tengok carta harga maka ia bukan simpanan, sebaliknya spekulasi.“Kebiasaannya golongan ini beli Dana Dagangan Saham (ETF) emas atau emas digital. Saya pula simpan emas fizikal,” katanya.Golongan wanita paling menyukai emas fizikal. -Gambar hiasan AITambahnya, emas bukan instrumen untuk cepat kaya, namun ia juga jarang menyebabkan seseorang jatuh muflis.Menurut Irfan, dia mula menyimpan emas sejak 2020 ketika harga sekitar RM200 segram dan membeli lagi ketika harga naik ke RM275 segram.“Bila harga naik sampai RM305 pun saya tetap beli. Lepas tu harga turun balik sekitar RM245 hingga RM255 sepanjang 2021 sampai 2023,” katanya.Irfan berkata ramai yang memilih menunggu ketika harga jatuh untuk membeli, namun apabila harga kembali naik mereka pula berkata ia sudah terlalu mahal.“Bila harga jatuh dulu, orang kata tunggu lagi murah. Bila harga naik, orang yang sama kata jangan beli pula."Situasi itu menimbulkan persoalan bila sebenarnya masa terbaik untuk beli emas?" katanya.Menjawab dakwaan kononnya orang kaya tidak membeli emas, Irfan menjelaskan golongan tersebut sebenarnya sudah lama menyimpan emas dalam jumlah besar.“Mereka dah ada sekilogram, 500 gram, 250 gram dalam simpanan. Bukan baru nak beli sekarang,” katanya.Dia turut memetik contoh simpanan emas negara-negara besar seperti Amerika Syarikat yang mempunyai lebih 8,100 tan dan China sekitar 2,200 tan.Katanya, jurang besar itu membuktikan emas masih dianggap sebagai simpanan terakhir ketika krisis.Sebelum terpengaruh dengan kandungan tular yang menyarankan supaya orang ramai tidak membeli emas, Irfan bertanya tiga soalan penting untuk difikirkan iaitu:1. Aku beli emas untuk apa?2. Simpan nilai atau sekadar spekulasi?3. Berapa peratus harta aku patut lindung dengan emas?“Harga emas naik turun itu biasa. Yang luar biasa, bila kita langsung tak simpan apa-apa,” katanya.