suria

[V] Kenapa kereta RM300,000 tak boleh 'loan' 35 tahun, rumah harga sama dibenarkan pula? Pakar beri penjelasan

Terdapat sebab tertentu bank hanya benarkan pinjaman kereta hingga sembilan tahun berbanding rumah sehingga 35 tahun. -Gambar hiasan AI

RAMAI masih keliru mengapa pinjaman kereta dihadkan sehingga sembilan tahun, sedangkan pinjaman perumahan boleh mencecah 35 tahun. 

Sedangkan ada kereta yang mempunyai harga ratusan ribu, sama dengan harga sebuah rumah.

Menurut pendidik kewangan, Faiz Azmi, perbezaan itu berpunca daripada nilai aset yang sangat berbeza antara kereta dan rumah.

Jelasnya, kereta merupakan aset yang menyusut nilai sebaik sahaja digunakan, manakala rumah pula kebiasaannya meningkat nilai dari tahun ke tahun.

Individu yang ingin membuat pinjaman perlu berfikir dengan teliti tempoh pinjaman yang tidak membebankan mereka. -Gambar hiasan AIIndividu yang ingin membuat pinjaman perlu berfikir dengan teliti tentang tempoh pinjaman agar tidak membebankan mereka. -Gambar hiasan AI

“Kereta RM300,000 boleh loan maksimum sembilan tahun sebab nilainya makin jatuh. 

"Lepas lima tahun, baki hutang mungkin RM150,000 tapi nilai kereta cuma tinggal RM80,000 atau RM100,000,” katanya [Tonton Video].

Menurut Faiz, jika tempoh pinjaman kereta dipanjangkan sehingga 15 atau 30 tahun, risiko bank akan menjadi terlalu tinggi kerana nilai kereta tidak lagi mampu menampung baki hutang sekiranya peminjam gagal membayar ansuran bulanan.

Sebaliknya, pinjaman rumah dibenarkan sehingga 35 tahun kerana hartanah lazimnya meningkat nilai.

“Kalau peminjam gagal bayar, bank boleh lelong rumah dan biasanya nilai rumah itu lebih tinggi daripada baki hutang,” jelasnya.

Namun begitu, Faiz menegaskan bahawa tempoh 35 tahun bukan bermaksud perlu membayar selama 35 tahun sebaliknya tempoh boleh dipendekkan seperti strategi di bawah:

Strategi ambil 35 tahun, bayar macam sembilan tahun

- Ambil pinjaman 35 tahun

- Bayar lebih setiap bulan (capital repayment)

- Pendekkan tempoh hutang secara tidak langsung

Menurut Faiz, ini kerana pinjaman perumahan mempunyai kemudahan flexi payment, yang membolehkan bayaran tambahan dibuat untuk mengurangkan prinsipal.

"Sebagai contoh rumah berharga RM300,000 dengan bayaran tempoh 35 tahun sekitar RM1,500 sebulan; atau dengan bayaran RM3,242 sebulan dalam tempoh sembilan tahun.

“Kalau ambil 35 tahun, bayar RM1,500 sebagai ansuran biasa, dan tambah RM1,700 sebagai bayaran prinsipal. Kesannya sama macam loan sembilan tahun, tapi lebih fleksibel dan kurang risiko,” katanya.

Elak silap perancangan

Tambahnya lagi, mengambil pinjaman sembilan tahun dari awal sebenarnya lebih berisiko kerana:

- Komitmen bulanan terlalu tinggi

- Jika berlaku kecemasan kewangan, rumah boleh dirampas

- Tiada fleksibiliti bayaran

 “Ambil 35 tahun, tapi bayar macam sembilan tahun. Itu cara paling bijak urus hutang rumah,” tegasnya.

Artikel Lain