suria

Gaji permulaan RM2,500, tak mustahil bersara dengan simpanan RM1.3 juta... Ini pengiraan pakar kewangan

Disiplin dalam menyimpan di KWSP boleh membantu pencarum bersara dengan simpanan jutaan ringgit. -Gambar hiasan

MEMILIKI simpanan persaraan sekurang-kurangnya RM1.3 juta mungkin kelihatan sukar bagi kebanyakan rakyat Malaysia, tetapi tidak mustahil jika anda kekal berdisiplin dalam menyimpan dan mengekalkan pekerjaan stabil.

Penasihat kewangan, Jarvic Lau berkata seorang graduan yang mula bekerja pada usia 25 tahun dengan gaji permulaan RM2,500 sebulan, menerima kenaikan gaji lima peratus setahun dan gaji akhir RM15,000 pada usia 60, mampu mencapai sasaran tersebut. 

Dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 23 peratus sebulan dan pulangan tahunan enam peratus, simpanan selama 35 tahun boleh mencecah lebih RM1.5 juta walaupun selepas mengambil kira potensi pengeluaran awal sehingga 30 peratus.

Pakar menasihatkan pencarum mengelak dari membuat pengeluaran awal tanpa sebab di KWSP. -Gambar hiasanPakar menasihatkan pencarum mengelak membuat pengeluaran awal tanpa sebab di KWSP. -Gambar hiasan

Menurut Lau, mereka yang bermula lewat, misalnya pada usia 40-an, masih boleh mencapai jumlah RM650,000 menjelang usia 65, cukup untuk pengeluaran RM2,708 sebulan pada tahun pertama persaraan.

KWSP juga memperkenalkan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dengan tiga tahap jumlah simpanan:

Asas: RM390,000 – menampung keperluan harian

Mencukupi: RM650,000 – menyokong gaya hidup sederhana

Dipertingkat: RM1.3 juta – persaraan lebih selesa

Aktivis kewangan, Amy Seok menasihatkan rakyat Malaysia untuk:

- Kekalkan caruman KWSP berterusan dan buat 'top-up' sukarela jika ada lebihan.

- Elak pengeluaran awal kecuali kecemasan

- Labur jangka panjang melalui unit amanah, PRS, atau pelaburan lain mengikut toleransi risiko

- Kawal gaya hidup dan kurangkan hutang

Sementara itu, Danny Wong dari Areca Capital menyarankan generasi muda mencari pendapatan sampingan dan menanam tabiat pelaburan untuk masa depan.

Profesor Dr Balakrishnan Parasuraman dari Universiti Malaysia Kelantan pula mencadangkan kerajaan menaikkan umur persaraan kepada 62 tahun.

Katanya, ia sejajar dengan jangka hayat yang lebih panjang dan perubahan gaya hidup, bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan mencukupi.

Menurut RIA, untuk tahap mencukupi, seseorang memerlukan sekurang-kurangnya RM650,000 bagi menampung gaya hidup sederhana, manakala tahap dipertingkat memerlukan RM1.3 juta untuk persaraan selesa.

Artikel Lain