suria

Ghairah jual 4 produk viral, semua gagal! Usahawan belajar dari kesilapan, kongsi 3 'bahaya' buka bisnes ikut trend

Makanan viral mudah mendapat perhatian pelanggan tetapi peniaga tak boleh cepat puas hati. -Gambar hiasan AI

BANYAK perniagaan yang pernah viral dengan produk seperti ayam goreng, pisang berkeju dan ayam Korea kini telah ditutup, walaupun sebelum ini pelanggan sanggup beratur berjam-jam untuk membelinya. 

Usahawan, Sabrie Salleh berkongsi pandangan tentang mengapa 90 peratus bisnes viral gagal bertahan lama.

Menurut Sabrie, dia sendiri pernah menjual empat produk viral seperti Burger Bakar, Cheese Pull, Mat Bulat Meatball dan ikan bakar. 

Katanya, setiap produk hanya bertahan antara satu hingga dua tahun, sebelum akhirnya perniagaan mereka jatuh merudum.

“Salah satu rakan saya buka 'steakhouse' biasa, tak viral, tak beratur panjang. Masa tu kami semua kata boringlah bisnes dia. 

"Tapi 10 tahun kemudian? Dia expand steady, bisnes RM20 juta setahun, travel naik Business Class.

"Manakala kami yang viral dulu, ramai yang struggle atau give up,” katanya di Facebook.

Hanya 10 peratus sahaja peniaga viral yang berjaya bertahan dalam perniagaan masing-masing. -Gambar hiasan AI90 peratus peniaga viral gagal bertahan dalam perniagaan. -Gambar hiasan AI

Sabrie menekankan bahawa 'viral' itu boleh diibaratkan seperti pisau bermata dua dengan peniaga perlu memikirkan fasa:

Sebelum viral: Pastikan kualiti produk konsisten dan siap untuk dihadapi ramai pelanggan.

Semasa viral: Gunakan peluang untuk menukar 'pelanggan sekali' menjadi pelanggan tetap dengan memberi pengalaman lebih dari dijangka.

Selepas viral: Pivot bisnes dari produk ke kategori supaya dikenali sebagai tempat yang sentiasa boleh dikunjungi.

“Ramai pilih viral sebab nak kaya cepat, beratur panjang, sales tinggi. Tapi konsistensi lebih penting daripada trending tiga bulan.

"Pilih bosan (berniaga) tapi untung 10 tahun, bukan viral enam bulan lalu mati,” jelasnya.

Menurut Sabrie, hanya 10 peratus usahawan yang memahami strategi ini dari awal berjaya 'menunggang' trend viral dan mengekalkan bisnes mereka dalam jangka panjang.

Sabrie turut menyenaraikan tiga 'tragedi' utama yang membunuh bisnes viral:

1. Dengar pelanggan yang salah

Ramai pemilik bisnes terperangkap dengan komen atau pertanyaan bila nak buka cawangan di Penang? dan terus kembangkan perniagaan tetapi pelanggan yang komen itu biasanya hanya mahu cuba sekali sahaja. 

Pelanggan sebenar yang ulang datang diam-diam. Akibatnya, cawangan baharu merugikan dan sewa kedai terbengkalai.

2. Mengecewakan pelanggan semasa ramai orang

Pemilik yang terlalu leka semasa kedai dikunjungi ramai pelanggan sering menurunkan kualiti atau servis.

Akibatnya, pelanggan yang datang sekali kecewa dan tidak kembali, manakala pelanggan lama juga mencari tempat lain.

Pemilik yang mengekalkan standard dan memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan pula mampu mengekalkan jualan.

3. Terperangkap sebagai kedai produk viral

Banyak kedai gagal bertahan apabila trend produk mereka berakhir.

Contohnya, kedai yang viral kerana satu produk tertentu boleh mati apabila produk itu tidak lagi trending. 

Pemilik perlu pantas menukar fokus dari produk kepada kategori bisnes yang lebih luas, supaya pelanggan terus datang walaupun trend telah berlalu.

Artikel Lain