suria

Rakyat Malaysia terbunuh dalam nahas helikopter di Filipina

Seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam nahas itu.

SEORANG rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina maut apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan lapang kira-kira dua jam ke tenggara Manila.

Helikopter itu membawa lima penumpang, termasuk dua warganegara Malaysia.

Ia terhempas di lokasi berumput dalam kawasan perumahan di Pililla, sebuah bandar kecil di wilayah Rizal, pada pukul 7.27 pagi Selasa, menurut pihak berkuasa.

Pegawai polis wilayah Rizal, Ramjae Pangga, memberitahu AFP bahawa dua penumpang iaitu seorang rakyat Malaysia dan seorang Filipina, terbunuh dalam nahas itu.

Sementara itu, juruterbang dilaporkan mengalami kecederaan serius, kata Datuk Bandar Pililla, John Masinsin.

“Tiga yang terselamat… masih terkejut, terutamanya juruterbang,” katanya kepada AFP.

“Mereka kini dalam perjalanan ke sebuah hospital tertiari di (Metro Manila), atas permintaan keluarga,” tambahnya.

Dia turut memuji juruterbang kerana berjaya mendaratkan pesawat itu di kawasan perumahan tanpa mencederakan sesiapa.

Pangga menambah pendaratan kecemasan itu terpaksa dilakukan kerana enjin helikopter itu hampir terhenti.

Siasatan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina sedang dijalankan.

Artikel Lain