suria

[V] “Ini bukan budaya Malaysia!” - Perarakan kejut sahur didakwa diketuai warga Indonesia undang kemarahan ramai

Perarakan bagi mengejut orang ramai bangun bersahur yang dibuat di sebuah penempatan di Selangor mendapat kecaman ramai.

RAKAMAN video menunjukkan sekumpulan individu berarak sambil memukul sebuah tong yang dijadikan gendang sambil berselawat bagi mengejutkan orang ramai untuk bersahur mencetuskan rasa kurang senang ramai selepas ia tular di media sosial sejak Isnin.

Difahamkan, perarakan yang berlaku di sebuah penempatan di Balakong, Selangor itu diketuai dan disertai warga Indonesia.

Susulan itu Ahli Majlis Fatwa Perlis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle tampil memberikan pandangan berhubung amalan tersebut yang menurutnya tidak seharusnya dinormalisasikan di Malaysia.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) berkata, amalan seperti itu berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

"Saya harapkan budaya seperti ini tidak dikembangkan dan tidak perlu diteruskan kerana di dalam negara kita ini bukan semua orang dianjurkan untuk bersahur," jelasnya menerusi hantaran di TikTok [Tonton Video].

Jelas Rozaimi, secara umumnya bukan semua individu perlu bangun bersahur, termasuk wanita sedang uzur (haid) atau dalam tempoh nifas, selain bayi dan anak kecil yang memerlukan waktu tidur mencukupi.

"Kalau lakukan perkara ini, kita mengganggu mereka. Bahkan dalam negara kita ada orang bukan agama Islam yang mungkin akan benci kepada Islam sedangkan agama kita tidak menyuruh perkara ini dilakukan.

Rozaimi mengulas hal tersebut menerusi satu perkongsian di TikTok.

"Saya tak ada masalah jika kita azan lebih daripada sekali untuk mengejut orang sahur di waktu pagi. Azan pertama sebelum masuk waktu Subuh dan azan kedua tu berlaku pada waktu Subuh," katanya lagi.

Selain itu, Rozaimi turut berharap orang ramai menolak dan tidak mengembangkan budaya tersebut di Malaysia demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, beliau memetik pandangan ulama terdahulu, Ibn al-Jawzi yang mengkritik amalan membaca al-Quran di menara tinggi pada waktu malam kerana dibimbangi mengganggu orang sedang tidur.

Di ruangan komen pada video yang tular tersebut, rata-rata netizen turut menyuarakan rasa kurang senang dengan tindakan berkenaan.

"Bukan ganggu orang bukan Islam je. Muslim beribadah pun terganggu. Orang nak mengaji ke tahjud ke. Ada orang yang bersahur tak sama masa dengan kita.

"Ni budaya mana ni? Orang Malaysia tak pernah buat macam ni. Jangan buat kerja bodoh boleh tak? Malaysia ni bukan satu kaum je, ada banyak.

"Hormat privasi kaum lain. Ini bukan budaya Malaysia, jangan bawa ke sini. Buat dekat negara masing-masing," komen beberapa netizen.

Artikel Lain