suria

Bapa tak tahu dakwaan pemuda dituduh pijak al-Quran sudah peluk Islam

Peguam memaklumkan bahawa bapa Vikneswaran tidak mengetahui mengenai status anaknya yang dikatakan sudah memeluk Islam. -Foto Sinar Harian (kiri)

BAPA kepada pemuda yang dituduh memijak al-Quran mendakwa tidak mengetahui mengenai status agama anaknya yang dikatakan sudah memeluk Islam pada 25 April tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuantan pada Selasa.

Katanya, bapa kepada tertuduh S Vikneswaran, 21, iaitu K Selvanathan tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang proses pengislaman anaknya.

"Kalau tanya, dia akan jawab no komen... bapa dia pun tidak tahu mengenai (dakwaan) anaknya peluk Islam," katanya pada Selasa.

Isu status agama penuntut berkenaan menjadi perhatian selepas pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa pemuda itu pernah melafazkan syahadah di hadapannya pada tarikh tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Firdaus Wong dedah individu pijak al-Quran seorang mualaf, peluk Islam April 2025

ARTIKEl BERKAITANVikneswaran tak mengaku salah pijak al-Quran

Menurut Firdaus dalam pendedahan dibuat pada Isnin, pemuda terbabit sebelum itu menghubunginya menerusi Instagram dan menunjukkan kesungguhan untuk memeluk Islam dengan meminta bimbingan.

Terdahulu, Vikneswaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berkaitan mencemarkan al-Quran serta membuat hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial.

Penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkenaan sebelum itu ditahan pada 25 Februari lalu bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina Islam di laman sosial.

Artikel Lain