suria

Pengemis di bazar disyaki kerja sindiket, wajah sama tapi lokasi berbeza... Pihak berkuasa digesa ambil tindakan

Peminta sedekah yang dilihat di Puchong kini berada di Taman Melawati. -Gambar media sosial

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) digesa memantau aktiviti meminta sedekah di kawasan bazar Ramadan dipercayai didalangi sindiket tertentu.

Ia susulan seorang lelaki berkongsi beberapa gambar seorang wantia bersama kanak-kanak dan bayi sedang meminta sedekah di bazar Ramadan Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Individu berkenaan meminta pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap situasi tersebut kerana lokasi bazar berkenaan hanya kira-kira 100 meter dari pusat konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"MPAJ sila muncul. Bazar Ramadan di belakang Melawati Mall, dekat sahaja dengan pusat konvensyen MPAJ. Takkan sekadar pandang sahaja?” katanya.

Perkongsian itu menarik perhatian seorang pengguna maya yang mendakwa pernah terserempak dengan peminta sedekah sama bersama bayi di lokasi berbeza sebelum ini.

"Itu orang yang sama saya jumpa dekat Puchong Utama. Masa tu bayi tu baru lahir. Kesiannya bayi dibawa ke tempat yang sesak macam tu," katanya.

Individu itu juga turut berkongsi gambar peminta sedekah sama selain tangkap layar aduan yang dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Januari lalu.

Netizen dalam pada itu turut melahirkan rasa hairan bagaimana kanak-kanak yang sepatutnya aktif pada usia itu hanya dilihat tidur sepanjang masa.

"Sepatutnya umur macam tu banyak main tapi ini tidur je, sindiket bagi ubat tidur ke?

"Anak siapa yang mereka pegang tu? Perempuan umur 50-an tapi anak masih bayi," komen netizen.

Artikel Lain