PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa individu yang tular kerana memijak al-Quran sebenarnya adalah seorang mualaf.Menerusi satu perkongsian di media sosialnya, Firdaus menjelaskan individu itu telah memeluk Islam pada 20 April 2025 dan kini menggunakan nama Muhammad Zain. Menurut Firdaus, pemuda itu sebelum ini menunjukkan kesungguhan tinggi untuk memeluk Islam sehingga berulang kali menghubunginya bagi mendapatkan bimbingan.“Dia seorang mualaf yang bersyahadah pada 20 April 2025 dan nama Islamnya Muhammad Zain,” katanya.Kongsi Firdaus, pemuda itu disifatkan mempunyai perwatakan yang baik serta berbudi bahasa sepanjang proses pengislamannya.“Dia budak yang baik, sopan santun dan lembut tutur katanya.“Dia hubungi saya di Instagram dan mesej bertalu-talu, ‘insist’ serta mengejar saya untuk mengislamkan dia,” jelasnya lagi.Firdaus mengakui terkejut dengan insiden yang berlaku dan masih cuba memahami punca sebenar individu tersebut melakukan perbuatan itu. “Sejujurnya saya terkejut. Apa yang berlaku pada dirinya? Adakah dia dihasut, diprovokasi atau ada perkara lain?“Saya juga ingin memahami dan membantu,” katanya.Pada 25 Februari lalu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berusia 21 tahun itu ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.Ia susulan tular gambar kaki lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa miliknya di media sosial.Pemuda itu juga memohon maaf atas tindakan tersebut, selain bapanya turut membuat laporan polis susulan bimbang terhadap keselamatan anaknya itu.Dia direman dari 25 Februari sehingga 28 Februari lalu sebelum disambung sehingga Selasa (3 Mac) bagi membantu siasatan.