suria

Rumah Irfan Khairi di Dubai bergegar, cemas 2 letupan berlaku sebelum buka puasa - “Dengar tak? Bom lagi kuat!”

Irfan berkongsi situasi berlaku di Dubai dalam hantaran pada Sabtu.

USAHAWAN dan pempengaruh Irfan Khairi berkongsi detik cemas apabila kediamannya di Dubai mengalami gegaran kuat susulan letupan bom pada Sabtu.

Ia dipercayai ada kaitan dengan gelombang serangan balas Iran ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bercerita detik cemas itu, Irfan atau Noor Irfan Khairi Noor Azmi berkata, dua letupan kuat kedengaran sebelum masuk waktu berbuka puasa kira-kira pukul 6.27 petang (waktu tempatan).

"Tadi (Sabtu) saya ada buat video tentang serangan Iran terhadap UAE dan Dubai dan saya kata tidak bunyi atau dengar apa-apa.

"Sekarang ini saya hendak mengesahkan sebelum berbuka puasa memang terdengar letupan bom yang tidak jauh dari rumah saya.

"Sebentar tadi baru saja dalam 10 hingga 20 minit yang lepas terdengar bom yang kedua sampai bergegar rumah saya. Sah memang terjadi sekarang ini serangan ke atas UAE," katanya menerusi hantaran video di TikTok.

Tegas Irfan, dia sudah merakam video kejadian tersebut namun tidak dapat dimuat naik buat masa ini kerana undang-undang di Dubai sangat ketat dan sebarang maklumat tidak boleh dikongsi selagi belum disahkan kerajaan atau dilaporkan media.

ARTIKEL BERKAITAN: Iran sahkan Ayatollah terbunuh, ketegangan di rantau Timur Tengah dijangka memuncak

ARTIKEL BERKAITAN: Israel dakwa Ayotollah terbunuh, Iran tegaskan pemimpin tertinggi masih ‘teguh’ ketuai operasi

Irfan menerusi satu lagi perkongsian pada Ahad memaklumkan situasi cemas sekali lagi berlaku ketika dia sedang mengajar secara dalam talian apabila bunyi letupan kembali kedengaran berhampiran kediamannya.

Sebagaimana dijelaskan pada video berkenaan, lebih 130 peluru berpandu dilaporkan menuju ke UAE namun hampir kesemuanya berjaya dipintas.

"Dengar tak? Bom, lagi kuat. Bergegar rumah saya. Semoga tak ada apa-apa. Bergegar tingkap rumah saya. Doakan yang terbaik sahaja.

"Anak-anak saya dekat tingkat atas tengah takut la tu kut. (Bunyi) semakin dekat sebab base tu dekat," katanya lagi.

Dalam masa sama, Irfan memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dirinya dan keluarga serta berharap keadaan kembali reda dalam masa terdekat.

Terdahulu, ketegangan memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran termasuk di Tehran, yang turut dilaporkan mengorbankan orang awam.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan misil ke wilayah Israel dan turut menyasarkan kemudahan tentera AS di Asia Barat.

Media Iran turut melaporkan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan udara yang didakwa dilancarkan Israel dan AS. 

Perkara itu disahkan menerusi stesen televisyen negara dan agensi berita rasmi Iran.

Artikel Lain