suria

Sah ke solat kalau saf renggang? Ustazah Asma’ Harun jawab isu jemaah wanita ‘pilih tempat’, rupanya ramai salah faham!

Ustazah Asma' memberi penjelasan tuntas mengenai hukum jemaah tidak merapatkan saf ketika solat jemaah.

ISU saf renggang ketika solat berjemaah sering menjadi perdebatan, khususnya melibatkan jemaah wanita. 

Ada yang mempersoalkan sama ada solat tersebut masih sah atau sebaliknya.

Menurut perkongsian pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan saf wanita kelihatan sedikit renggang dan mempunyai lompong.

Jelas beliau, ada wanita yang membawa anak kecil dan memilih untuk berada di hujung saf bagi memudahkan urusan sekiranya anak meragam, selain bimbang mengganggu jemaah lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke haram kaum wanita ziarah kubur? Ini penjelasan mufti yang perlu difahami

Selain itu, pergerakan ketika sujud dan duduk antara dua sujud memerlukan sedikit ruang supaya tidak bersentuhan atau terpijak antara satu sama lain. 

Tambahan pula, ada dalam kalangan jemaah berusia yang mempunyai masalah lutut sehingga memerlukan ruang lebih selesa ketika duduk tahiyat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa merenggangkan saf kerana faktor keselesaan adalah munasabah, berbeza dengan sengaja membiarkan jarak atas alasan mahu berkawan atau memilih tempat tertentu. 

Isu jemaah wanita 'degil' kerana enggan merapatkan saf banyak dikongsi di media sosial. -Gambar hiasan

Ujarnya, sikap sebegitu tidak digalakkan kerana bercanggah dengan adab berjemaah.

Apa hukum saf renggang?

Menurut beliau, hukum merapatkan dan meluruskan saf adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Ujarnya, terdapat dua pandangan ulama dalam isu ini.

Pandangan pertama menyatakan merapatkan saf adalah wajib. Ia merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali serta pandangan Ibn Hazam dan Imam al-Bukhari.

Namun, pandangan kedua yang dipegang oleh jumhur (majoriti) ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menyatakan bahawa meluruskan saf adalah sunat, bukan wajib.

Beliau turut memetik hadis riwayat Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, luruskanlah saf-saf kamu, sesungguhnya lurusnya saf merupakan antara tanda kesempurnaan solat." (Riwayat al-Bukhari, 723)

"Lafaz sebahagian daripada atau antara kesempurnaan solat itu menunjukkan, ia termasuk dalam perkara yang menyempurnakan ibadah, bukan syarat sah.

"Kita tahu solat ini ada syarat sah, ada rukun solat dan syarat wajib solat. Jadi tak termasuk syarat sah solat itu adalah saf.

"Para ulama menjelaskan bahawa jika ia benar-benar wajib, tidak akan disebut sebagai keelokan ataupun kesempurnaan," ujarnya.

Kesimpulannya, solat berjemaah yang dilakukan dalam keadaan saf tidak rapat tetap sah, namun hukumnya makruh kerana meninggalkan perkara sunat yang sangat dituntut.

Pandangan yang lebih kuat, jelas beliau, adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama (pandangan kedua) yang menyatakan merapatkan saf ialah sunat muakkad dan bukannya wajib.

Artikel Lain