SETIAP kali tiba bulan Ramadan dan Syawal, ramai daripada kita akan mengambil kesempatan menziarahi pusara sebagai tanda ingatan kepada insan tersayang yang telah tiada.Bagaimanapun, hantaran dibuat seorang wanita kembali mengundang persoalan ramai apabila menyatakan terdapat hadis Rasulullah SAW melaknat kaum wanita yang menziarahi kubur. Dalam hantaran sama, wanita itu turut berkongsi papan tanda daripada agensi perbandaran di sebuah daerah berkenaan 'ziarah kubur yang disyariatkan'.Berdasarkan papan tanda tersebut, terdapat beberapa peringatan menyatakan 'wanita tidak boleh menziarahi kubur kerana telah shahih dari Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhuma bahawa Nabi Muhammad SAW melaknat wanita-wanita yang berziarah kubur.(Hadis riwayat Abu Daud (no 3236) dan At Tarmizi (320)Papan tanda yang diletakkan di sebuah kawasan kubur memberi peringatan kepada golongan wanita.Menjelaskan mengenai isu menziarah kubur bagi golongan wanita, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan hukumnya adalah makruh."Makruh bagi wanita untuk menziarahi kubur, sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur Rasulullah SAW kerana hukumnya adalah sunat. "Juga kubur orang-orang soleh dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab-adab berziarah," jelasnya.Dalam pada itu, terdapat juga pandangan yang mengatakan haram bagi wanita menziarah kubur.Namun jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pendapat lain menyatakan harus sekiranya ziarah kubur itu aman daripada fitnah bagi wanita."Ia berlandaskan beberapa hadis dan pandangan ini lebih sesuai untuk diamalkan pada masa kini dengan syarat mesti dijaga adab-adab ketika berziarah," tegasnya.Fitrah wanita yang mempunyai hati lembut dan bersuara tinggi menjadi asbab kepada hukum makruh. -Gambar hiasanBerdasarkan mazhab jumhur ulama’, hukumnya adalah makruh menziarahi perkuburan berdasarkan hadis Nabi SAW bahawa laknat Allah SWT ke atas wanita yang menziarahi kubur (berdasarkan hadith riwayat al-Tirmizi di atas).Selain itu, makruh bagi wanita disebabkan hati mereka ini lembut, banyak mengeluh, tidak kuat ketika ditimpa musibah dan kesemua ini merupakan faktor wanita itu akan menangis serta meninggikan suaranya.Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa sunat bagi wanita menziarahi kubur sepertimana juga lelaki berdasarkan (umum) hadis Nabi SAW (setelah dianjurkan menziarahinya). [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24-25/8]Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:“Namun sunat bagi mereka menziarahi kubur Rasulullah SAW, para anbiya’ dan orang soleh dengan syarat mereka tidak memperagakan diri, bercampur gaul, bersesak-sesak, bersentuhan dengan kaum lelaki dan meninggikan suara yang mungkin membawa fitnah sebagaimana yang banyak berlaku ketika mereka berziarah.” [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/266]Di samping itu, sebahagian ulama’ menyatakan sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 1/389]