suria

[V] Terpaksa ambil steroid untuk sembuh, Marsha Milan hidap masalah paru-paru lemah

DALAM diam, penyanyi Marsha Milan rupanya menghidap masalah paru-paru yang serius sehingga menjejaskan kerjaya seninya sepanjang tahun lalu.

Marsha, 40, berkata dia menyedari keadaan tersebut selepas dijangkiti Covid-19 buat kali pertama dan menganggap tahun 2025 sebagai tempoh yang cukup mencabar buat dirinya.

Menurut Marsha, dia mengambil masa yang lama untuk pulih setiap kali diserang demam atau batuk berbanding individu lain.

Marsha susah sembuh seperti orang lain.

“Saya ada masalah paru-paru lemah. Selepas itu, setiap kali demam atau batuk, saya ambil masa sangat lama untuk pulih.

“Tahun lepas memang sangat menduga. Saya melalui beberapa episod demam dan batuk berpanjangan.

“Paling teruk ketika dijangkiti influenza antara Oktober hingga November tahun lalu. Saya ambil masa hampir dua bulan untuk pulih sepenuhnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi foto hidung berdarah, Marsha Milan rupanya alami masalah suara

ARTIKEL BERKAITAN: Marsha memang disayangi kanak-kanak, rupanya sudah 10 tahun santuni penghuni rumah kebajikan

“Sepanjang tempoh itu saya bergelut kerana ada kerja tetap yang perlu diteruskan,” katanya kepada mStar.

Disebabkan masalah kesihatan tersebut, Marsha terpaksa menangguhkan beberapa komitmen kerja, termasuk sesi rakaman dan persembahan pentas.

Malah, dia juga terpaksa mengambil ubat jenis steroid bagi mempercepatkan proses pemulihan walaupun dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian. 

Saya memang kena jaga kesihatan betul-betul.

MARSHA MILAN

PENYANYI

“Ada sesi rakaman yang terpaksa ditangguhkan. Malah saya juga terpaksa batalkan undangan persembahan. Dalam masa sama, ada juga persembahan yang saya teruskan walaupun sedang bergelut dengan batuk dan demam.

“Tapi hidup perlu diteruskan. Saya buat apa yang perlu seperti ambil suntikan vaksin, berulang-alik berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan dan dapatkan nasihat.

“Steroid pun saya ambil walaupun ramai nasihatkan jangan, tapi ketika itu saya memang terpaksa,” jelasnya.

Marsha peka dengan kesihatan diri.

Tambah Marsha, pengalaman berdepan masalah kesihatan berpanjangan membuatkan dia kini lebih peka terhadap keadaan diri.

“Perkara ini memang merisaukan saya. Tahun lalu, berbulan-bulan saya diuji dengan sakit yang berulang kali datang.

“Saya memang kena jaga kesihatan betul-betul. Kalau demam atau batuk, tempoh sembuh sangat panjang.

“Gaya hidup saya pun berubah. Tiada lagi makanan berminyak atau pedas. Saya juga perlu sentiasa merujuk pakar untuk memantau tahap kesihatan paru-paru,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain