suria

Diana Rafar pernah putus asa bantu individu peluk Islam… “Mereka persoal siapa saya untuk bercakap tentang agama”

Diana pernah putus asa daripada membantu orang untuk memeluk Islam.

PELAKON Diana Rafar mendedahkan dia pernah hampir berputus asa sehingga mengambil masa berehat daripada media sosial dan siaran langsung selama beberapa bulan ekoran kecaman daripada segelintir pihak.

Menurut Diana atau Adiana Abdul Rafar, 44, kecaman itu berpunca daripada pertikaian ramai mengenai kredibilitinya dalam membantu individu memeluk Islam serta berkongsi ilmu agama.

"Saya bukanlah orang yang sempurna atau terlalu baik. Ramai juga yang kecam apa yang saya buat. Memang ada yang kata saya bukan ustazah. 

Diana berkongsi perkara itu ketika ditemui media. 

"Mereka persoalkan siapa saya untuk bercakap tentang agama, betul ke hadis yang saya kongsikan dan kenapa saya pula yang bercakap soal mengislamkan orang. Tapi dengan benda-benda macam ini saya rasa boleh bantu dekatkan diri dengan Allah.

“Bukan sebab saya dah syahadahkan orang atau rasa diri sempurna dan baik. Ramai juga yang kecam apa yang saya buat," katanya kepada mStar. 

Jelas Diana, meskipun kritikan itu membuatkan dia terasa berat, namun selepas mendapatkan nasihat daripada mufti, ustaz dan pejabat agama, dia memilih untuk terus berkongsi kebaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peluang bimbing saudara baharu lafaz syahadah jentik hati, cara Diana Rafar terus istiqamah

ARTIKEL BERKAITAN: Zamarul Hisham dimasukkan ke ICU akibat sesak nafas, Diana Rafar kongsi perkembangan terkini suami

Tambah aktres itu, usahanya membantu orang memeluk Islam bukan kerana dia sempurna tetapi kerana mahu menyebarkan kebaikan walaupun menyedari kelemahan diri sendiri.

“Mereka (agamawan) yakinkan saya. Kata mereka, bila kita nak buat kebaikan, kita tak perlu tunggu jadi baik atau jadi ustazah dulu baru boleh bercakap tentang agama. Dalam Islam, kalau rasa tak cukup buat baik, kita kena terus buat baik,” tambahnya.

Diana hanya berniat untuk menyebarkan kebaikan kepada orang ramai. 

Tambah Diana, dia bersyukur atas peluang yang diberikan untuk mendekatkan orang kepada Islam selain berkongsi kebaikan walaupun menghadapi dugaan.

“Bukan senang-senang rezeki itu nak sampai untuk mengislamkan sembilan orang. Saya bersyukur atas peluang ini dan mahu teruskan berkongsi kebaikan,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain