suria

Tiap-tiap hari nak beli kopi berjenama, guna pula servis penghantaran... Sebenarnya ini contoh ‘dopamine debt’, punca duit habis tanpa sedar!

Setiap orang perlu berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan diri. -Gambar hiasan AI

RAMAI menyangka masalah kewangan hanya berpunca daripada perbelanjaan besar seperti pembelian gajet mahal atau percutian mewah.

Namun hakikatnya, perbelanjaan yang kerap dan keputusan spontan berasaskan emosi sering menjadi punca utama duit 'mengalir' seperti air.

Tanpa disedari, ramai sedang terperangkap dalam keadaan yang dipanggil sebagai dopamine debt.

Perkara ini dikongsikan Sufi Suhaimi yang sering berkongsi ilmu berkaitan psikologi kewangan dan pengurusan kewangan peribadi.

Dopamine debt merujuk kepada tabiat berbelanja yang didorong oleh keinginan untuk mendapatkan rasa lega dan seronok.

Ia bersifat sementara tetapi meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kewangan.

Berikut antara 10 tabiat yang ramai lakukan tanpa sedar:

1. Shopping kecil-kecilan tetapi kerap

Harga RM19.90 nampak murah, tapi apabila diulang beli sehingga 100 kali sebulan, jumlahnya boleh mencecah RM2,000 tanpa disedari.

2. Check-out ketika stres

Beli barang dalam talian untuk lepaskan tekanan untuk rasa lega sekejap, tapi mula menyesal apabila lihat penyata bank.

3. Gaji masuk terus reward diri

Belum sempat rancang bajet, duit sudah habis dibelanjakan.

4. Makan mewah hujung minggu

Rasa seronok sekejap, kemudian stres apabila fikir baki duit untuk minggu seterusnya.

Pengurusan belanja yang betul penting supaya anda tidak dibebani hutang. -Gambar hiasan AI

5. Berbelanja untuk orang lain kagum melihat anda

Beli OOTD (pakaian untuk digayakan) baharu untuk rasa lebih yakin, tapi keesokkan harinya baru terasa rugi apabila gambar dimuat naik di media sosial tidak viral atau mendapat perhatian.

6. Kopi viral setiap hari

RM12 nampak biasa, tapi sebenarnya yang dibayar ialah 'dopamine fix', bukan kopi semata-mata.

7. Pesan makanan sebab malas masak

Bukan kerana perut lapar sangat, tapi kerana mahu rasa senang dan puas sekejap.

8. Upgrade gajet walaupun masih elok

'Gatal' nak rasa barang baharu, akhirnya duit habis tanpa perancangan.

9. Langganan bulanan yang tak digunakan

Netflix, Spotify, Canva dan permainan dalam talian biasanya dibuat kerana dopamine berlaku ketika melanggan, bukan ketika digunakan.

10. Retail therapy selepas penat atau bergaduh

Emosi mendorong pembelian, bukan keperluan di mana rasa lega cuma 30 minit, tapi poket 'sengsara' 30 hari.

Artikel Lain