RAMAI dalam kalangan kita sering melalui situasi di mana gaji baharu sahaja dikreditkan, namun menjelang minggu kedua kewangan sudah mula terasa sempit.
Hakikatnya, keadaan ini sering berlaku walaupun kita tidak melakukan perbelanjaan besar seperti membeli telefon baharu atau barangan mewah.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, punca utama keadaan tersebut bukanlah sikap boros secara besar-besaran, sebaliknya daripada perbelanjaan kecil yang kerap, dipanggil 'bocor kecil'.
Antara contoh perbelanjaan harian yang sering dipandang remeh termasuk bayaran parkir, caj penghantaran, tambahan topping makanan, add-on sebarang perkhidmatan, pembelian kecil secara spontan serta top-up e-dompet tanpa perancangan.
Walaupun setiap transaksi hanya melibatkan jumlah kecil biasanya di bawah RM10 hingga RM15, ia sering dianggap tidak memberi kesan besar terhadap kewangan.
Namun, apabila perbelanjaan kecil ini berlaku hampir setiap hari, ia secara tidak langsung menjadi 'yuran hidup' yang dicipta sendiri tanpa disedari.
Sebagai contoh, perbelanjaan tambahan sebanyak RM10 sehari akan berjumlah RM300 sebulan, manakala 'kebocoran' RM15 sehari mencecah RM450 sebulan.
Jika dalam sesebuah isi rumah terdapat dua individu yang masing-masing berbelanja tambahan RM10 sehari, jumlah tersebut boleh meningkat sehingga RM600 sebulan.

Semak semula perbelanjaan kecil yang menjadi punca ketirisan dalam kewangan. -Gambar hiasan AI
Keadaan ini juga menjelaskan mengapa sesetengah individu merasakan mereka sudah berjimat pada perbelanjaan besar seperti hanya makan mewah di hujung minggu, namun tetap berdepan kekangan kewangan.
Hal ini berlaku kerana kebocoran kecil pada hari bekerja secara berterusan akhirnya memberi kesan besar terhadap baki simpanan hujung bulan.
Bagi membetulkan situasi ini, Public Health Malaysia menyarankan agar perubahan tidak dimulakan dengan azam yang terlalu besar sebaliknya melalui langkah kecil namun praktikal dan mudah dilakukan.
Antara langkah awal yang dicadangkan adalah seperti berikut:
1. Teliti semula transaksi dalam aplikasi perbankan bagi tempoh tujuh hari terakhir.
2. Tumpu perhatian kepada semua perbelanjaan di bawah RM15.
3. Jumlahkan transaksi tersebut dan asingkan mengikut kategori seperti penghantaran makanan, minuman, add-on, top-up e-dompet serta pembelian di kedai serbaneka.
Apabila jumlah sebenar dilihat secara keseluruhan, anda akan lebih mudah menyedari punca sebenar kebocoran kewangan yang selama ini tidak disedari.
Seterusnya, pilih satu kategori sahaja untuk dikurangkan terlebih dahulu, sebagai contoh caj penghantaran kerana langkah ini lebih berkesan berbanding cuba mengurangkan semua perbelanjaan kecil serentak.
Setelah satu 'lubang' berjaya ditutup, barulah fokus boleh dialihkan kepada kategori perbelanjaan lain.
Selamat mencuba dan semoga ia menjadi azam tahun baru anda!


