suria

Pelepasan cukai Simpan SSPN hingga RM8,000, ibu bapa disaran rebut peluang sebelum 31 Disember 2025

Simpan SSPN terus menjadi platform pilihan simpanan pendidikan terbaik dalam membantu ibu bapa merancang kewangan pendidikan anak-anak.

INSENTIF pelepasan taksiran cukai pendapatan menerusi Simpan SSPN sehingga RM8,000 setahun terus menjadi antara galakan utama kepada ibu bapa di Malaysia untuk merancang simpanan pendidikan anak-anak.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sentiasa komited melaksanakan pelbagai insentif bagi memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak mereka.

Menurut Norliza, dengan pengenalan Simpan SSPN, PTPTN telah membuka ruang serta peluang kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan khususnya bagi tujuan pendidikan dan memupuk amalan menabung dari awal usia anak-anak.

“Justeru, saya menyeru kepada masyarakat Malaysia untuk membuat pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN sebelum 31 Disember 2025 agar berpeluang menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2025.

“Ia merupakan insentif istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN yang memberikan kelebihan berbeza berbanding produk simpanan lain di pasaran selain menikmati pelbagai manfaat lain yang ditawarkan,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Norliza berkata Simpan SSPN yang diperkenalkan sejak 2004 menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit termasuk manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.

Pelepasan taksiran cukai pendapatan itu pula melibatkan simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Bagaimanapun bagi akaun Simpan SSPN Plus, pendeposit boleh menikmati tambahan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM7,000 ke atas caruman sumbangan takaful yang dibayar kepada pengendali takaful di bawah kategori pelepasan bagi Insuran/Takaful Nyawa dan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” jelasnya lagi.

Beliau berkata, terdapat dua kategori kelayakan taksiran cukai iaitu taksiran berasingan dan taksiran bersama.

"Bagi taksiran berasingan, salah seorang sama ada ibu atau bapa layak menuntut pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 setahun bagi akaun Simpan SSPN yang dibuka untuk penerima manfaat iaitu anak.

"Manakala bagi taksiran bersama, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 setahun boleh dituntut bagi akaun Simpan SSPN yang dibuka untuk anak," jelasnya.

Dalam pada itu, Norliza memaklumkan bahawa mulai tahun taksiran 2025, pengeluaran simpanan daripada akaun Simpan SSPN yang digunakan bagi membiayai yuran pengajian tinggi anak tidak akan diambil kira dalam pengiraan tabungan bersih bagi tahun tersebut.

Ini bermakna pengeluaran tersebut tidak akan menjejaskan jumlah pelepasan cukai yang layak diterima oleh pendeposit.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza berkata Simpan SSPN terus menjadi platform simpanan pendidikan terbaik dengan pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.

Tambah beliau, insentif pelepasan cukai pendapatan Simpan SSPN adalah berdasarkan jumlah simpanan bersih bagi tahun semasa dan memberi kelebihan yang menguntungkan kepada ibu bapa untuk membuat tabungan jangka panjang bagi tujuan pendidikan anak-anak.

Selain pelepasan cukai, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan lain antaranya perlindungan takaful percuma kepada pendeposit bagi simpanan RM1,000 dan ke atas, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah serta simpanan yang dijamin oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat Malaysia supaya segera membuka akaun atau menambah deposit Simpan SSPN bagi merebut peluang menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2025 yang tidak ditawarkan oleh mana-mana instrumen simpanan lain.

Dalam masa sama, Norliza menegaskan kepentingan perancangan kewangan pendidikan sebagai langkah awal yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa.

“Perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan merupakan langkah pertama untuk memastikan masa depan anak-anak terjamin bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

"Ibu bapa perlu berubah dan mula membuat perancangan kewangan serta simpanan bermula dari sekarang," katanya menyatakan harapan terhadap masyarakat Malaysia.

Beliau turut menyarankan setiap keluarga di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun Simpan SSPN memandangkan pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan melalui skim simpanan itu.

PTPTN merupakan asas tabung pendidikan negara yang membantu ibu bapa merancang dan menjamin masa depan pendidikan anak-anak.

"Sekiranya masih tercari-cari platform simpanan yang memfokuskan pendidikan, Simpan SSPN adalah pilihan bijak ibu bapa untuk anak-anak. 

"PTPTN merupakan tabung pendidikan untuk anak-anak dan kami sentiasa membantu dalam perancangan kewangan demi masa depan mereka," katanya.

Modal tambahan simpanan pendidikan anak

Dua pendeposit berkongsi pengalaman mereka tentang bagaimana kelebihan pelepasan taksiran cukai ini dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada strategi kewangan keluarga, sekali gus menukar liabiliti cukai kepada modal pendidikan anak-anak pada masa hadapan.

Ong Phaik Ngoh, 45, berkata pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 menerusi Simpan SSPN bukan sekadar penjimatan cukai sebaliknya berfungsi sebagai modal tambahan untuk simpanan pendidikan anak-anak.

Menurut Phaik Ngoh, pelepasan taksiran cukai tersebut memberi kesan langsung kepada peningkatan pulangan sebenar simpanan pendidikan keluarganya apabila sebahagian penjimatan cukai dilaburkan semula ke dalam akaun Simpan SSPN pada tahun berikutnya.

"Pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 ini secara tidak langsung berperanan sebagai sokongan kerajaan. Sebahagian penjimatan cukai pendapatan yang diperoleh akan disalurkan semula ke dalam akaun Simpan SSPN, sekali gus mewujudkan kesan gandaan terhadap simpanan pendidikan anak," katanya.

Phaik Ngoh berkata, dia telah menyimpan antara RM4,000 hingga RM5,000 setahun dalam Simpan SSPN sejak 2023 bagi anak perempuannya yang kini berusia empat tahun manakala suaminya pula menyimpan RM8,000 setahun bagi anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun.

Dia turut menyambut baik ketetapan baharu berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2025 yang membenarkan pengeluaran simpanan Simpan SSPN bagi tujuan pembayaran yuran pengajian tinggi tanpa menjejaskan pengiraan simpanan bersih tahunan.

"Ketetapan ini memberi kepastian kepada ibu bapa kerana simpanan boleh digunakan apabila diperlukan tanpa menjejaskan kelayakan pelepasan cukai. Ini satu kelebihan yang jarang ditawarkan oleh instrumen simpanan lain

"Pendeposit Simpan SSPN Plus juga layak menikmati tambahan pelepasan cukai sehingga RM7,000 ke atas caruman sumbangan takaful, sekali gus membolehkan pengoptimuman pelepasan cukai sehingga RM15,000 setahun," katanya.

Perancangan kewangan anak dapat dibuat lebih cekap

Hui Shan (kanan) meraikan ulang tahun pertama Yue Tung (dua, kanan) bersama Soon Heng (kiri) dan suaminya Lee Yong Kang, di sebuah restoran Jepun.

Sementara itu, seorang lagi pendeposit, Shoo Hui Shan, 35, berkata Simpan SSPN dipilih sebagai platform simpanan pendidikan kerana menawarkan gabungan perlindungan takaful percuma dan simpanan dijamin kerajaan.

Menurut Hui Shan, pendekatan Simpan SSPN membolehkan ibu bapa merancang masa depan pendidikan anak-anak secara strategik tanpa menanggung beban cukai yang tidak perlu.

"Pendekatan ini membantu melindungi masa depan pendidikan anak sekiranya berlaku perkara tidak dijangka, di samping memastikan perancangan kewangan dibuat secara lebih cekap," katanya.

Hui Shan berkata dia telah menyimpan RM8,000 setahun dalam Simpan SSPN sejak 2019 bagi anak lelakinya, Lee Soon Heng yang kini berusia enam tahun.

Dalam pada itu, dia turut merancang untuk memulakan simpanan bagi anak keduanya, Lee Yue Tung yang berusia satu tahun bermula 2026.

Dia turut menambah, kadar dividen yang kompetitif turut mengukuhkan keyakinannya terhadap skim simpanan pendidikan itu sebagai pelan jangka panjang untuk anak-anak.

Justeru, kedua-dua kategori tersebut membolehkan ibu bapa menuntut pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun ke atas simpanan bersih Simpan SSPN sama ada di bawah taksiran cukai berasingan atau bersama.

Pendeposit Simpan SSPN juga berpeluang untuk menyertai Cabutan Tahunan WOW! Simpan SSPN 2025 yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2025 dengan hadiah lumayan lebih RM1.5 juta untuk dimenangi oleh 550 orang pemenang. 

Untuk maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan PTPTN, orang ramai boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau memuat turun aplikasi myPTPTN bagi mendapatkan perkhidmatan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Artikel Lain