DALAM usaha membina sebuah negara mampan dan berdaya saing, sistem percukaian kukuh memainkan peranan yang sangat penting.
Ini kerana hasil cukai terus menjadi tunjang kepada kestabilan fiskal dan pembangunan sosioekonomi jangka panjang negara.
Melalui kutipan yang mampan, kerajaan boleh membiayai perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan, infrastruktur serta jaringan perlindungan sosial.
Ini sekali gus berupaya meningkatkan daya saing negara dan taraf hidup rakyat merentas semua lapisan masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, fungsi percukaian bukan sekadar instrumen kutipan hasil, tetapi pemangkin strategik yang menyokong pertumbuhan.
Pelaburan dalam infrastruktur awam, pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosial hanya dapat direalisasikan melalui sistem kutipan cukai yang teratur dan berkesan.
Malah, setiap pembayar cukai memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kapasiti negara untuk terus memberikan manfaat kepada rakyat.
Pematuhan cukai pada asasnya mencerminkan komitmen kolektif terhadap keadilan, integriti dan pembinaan negara yang bertanggungjawab.
Apabila sistem percukaian dipatuhi dengan baik, kepercayaan antara kerajaan dan rakyat dapat diperkukuh, sekali gus memastikan sumber negara tersedia untuk menyokong aspirasi jangka panjang Malaysia.
Kesan pengelakan dan penyelewengan cukai
Tindakan ini bukan sahaja menimbulkan ketidakseimbangan dalam sistem percukaian, malah turut mengurangkan keyakinan awam terhadap institusi percukaian.
Akhirnya, pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab pula terpaksa menanggung beban tambahan.

Pematuhan cukai mencerminkan integriti serta rasa tanggungjawab sosial setiap warganegara.
Lebih teruk, perbuatan ini boleh menjejaskan keharmonian sosial dan bertentangan dengan prinsip keadilan yang menyokong pembangunan ekonomi mampan.
Maka, untuk memastikan ketelusan dan ketahanan sistem percukaian negara, Malaysia perlu menangani amalan yang melemahkan pematuhan.
Pengelakan dan penyelewengan cukai, sama ada melalui eksploitasi kelemahan peraturan, kegagalan melaporkan pendapatan sebenar atau pemalsuan rekod, menjejaskan kestabilan hasil negara dan mengurangkan keupayaan kerajaan memenuhi keperluan pembangunan rakyat.
Perbezaannya perlu difahami dengan jelas:
* Perancangan cukai ialah amalan yang sah dan dilaksanakan dalam kerangka undang-undang bagi mengurus liabiliti cukai secara berhemah.
* Pengelakan cukai berlaku apabila peraturan atau jurang undang-undang dimanipulasi untuk mengurangkan tanggungan cukai dengan cara yang bertentangan dengan tujuan sebenar perundangan.
* Penyelewengan cukai merupakan kesalahan yang menyalahi undang-undang dan melibatkan tindakan seperti tidak mengisytiharkan pendapatan atau memalsukan rekod.
Pembayar cukai berintegriti pemacu ketelusan ekonomi
Ekosistem fiskal yang stabil dapat dibentuk apabila wujudnya pembayar cukai yang bertanggungjawab.
Malah, ini juga membolehkan dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih berkesan serta menyumbang kepada ketahanan ekonomi negara.
Antara ciri penting pematuhan berintegriti termasuklah:
* Pengurusan kewangan yang telus dan tepat,
* Penyediaan serta penyerahan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam tempoh yang ditetapkan,
* Pembayaran cukai berdasarkan pendapatan sebenar, dan
* Kerjasama profesional bersama dengan pihak berkuasa cukai.
Tingkah laku ini membuktikan peranan pembayar cukai sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara, sekali gus memupuk budaya pematuhan yang menyumbang kepada kepercayaan awam dan memperkukuh kedudukan fiskal Malaysia.
Komitmen HASiL memperkukuh pematuhan
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) komited membangunkan sistem percukaian yang lebih cekap, telus dan saksama.
Melalui penyediaan garis panduan yang jelas, proses yang dipermudah serta program pendidikan berterusan, HASiL memastikan rakyat memahami tanggungjawab percukaian dengan lebih baik.

Cukai terus menjadi tunjang kepada kestabilan fiskal dan pembangunan sosioekonomi jangka panjang negara.
Pendigitalan juga menjadi komponen utama dalam transformasi perkhidmatan HASiL.
Platform dalam talian yang mesra pengguna telah meningkatkan akses, mengurangkan beban pentadbiran dan memudahkan pematuhan.
Usaha digital ini menyokong pembinaan sistem percukaian moden yang responsif dan berkesan.
Selain itu, pendidikan percukaian terus diberi penekanan agar masyarakat melihat cukai bukan sebagai beban, tetapi sebagai sumbangan konstruktif kepada kemajuan negara.
Asas kepada integriti, kestabilan dan kemakmuran
Individu yang cakna terhadap cukai menunjukkan integriti serta rasa tanggungjawab sosial mereka terhadap negara.
Malah, kutipan yang mampan memungkinkan pembangunan seimbang seperti kemudahan kesihatan yang lebih baik, sekolah yang dipertingkatkan, jaringan pengangkutan moden hinggalah kepada perlindungan sosial yang lebih kukuh.
Kemakmuran jangka panjang tidak hanya bergantung kepada dasar fiskal yang baik, tetapi turut bersandar pada kesediaan rakyat dan perniagaan untuk memenuhi tanggungjawab masing-masing.
Pematuhan yang adil dan konsisten menggalakkan keyakinan pelabur, menyokong kestabilan fiskal dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi berterusan.
Membina masa depan yang adil dan mapan
Pematuhan cukai merupakan teras kepada pembinaan negara yang berasaskan keadilan, akauntabiliti dan kemajuan bersama.
Sistem percukaian yang kukuh hanya dapat berfungsi apabila individu dan perniagaan melaksanakan tanggungjawab mereka secara telus dan jujur, memahami impak lebih luas terhadap negara.
Apabila pematuhan menjadi budaya bersama, Malaysia memperoleh kekuatan fiskal yang diperlukan untuk memajukan infrastruktur, memperkasa komuniti dan memacu pertumbuhan inklusif.
Masa depan negara bergantung kepada sistem percukaian yang dipercayai, dihormati dan disokong oleh seluruh rakyat.
Dengan mengamalkan pematuhan cukai yang bertanggungjawab hari ini, rakyat Malaysia menyumbang kepada masa depan yang lebih kukuh, saksama dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Ini akan memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam perjalanan kemajuan negara.


