suria

Kerja gig tiada nilai? Penasihat kewangan saran elak kejar duit semata-mata, belajar bina portfolio

Kerjaya gig popular sebagai pilihan untuk tambah pendapatan sampingan. -Gambar hiasan AI

KOS sara hidup yang semakin meningkat memaksa orang ramai menceburi ekonomi gig bagi menambah pendapatan.

Namun di TikTok, penasihat kewangan popular, Mohamad Faiz Azmi membangkitkan persoalan tentang jenis kerjaya gig yang sepatutnya diceburi.

"Betul ke kerja gig tiada value? Kalau cari kerja sambilan, anda prefer yang boleh tingkatkan kemahiran atau sekadar nak dapatkan duit?," soal Faiz yang terkenal dengan panggilan Financial Faiz di media sosial.

Jelas Faiz, orang ramai sepatutnya memilih ekonomi gig yang selari dengan pekerjaan atau bidang pelajaran utama dalam usaha mewujudkan portfolio kerjaya.

Jelasnya, pekerjaan gig seperti menghantar barang dari lokasi A ke B atau menjalankan tugasan berulang hanyalah memberi duit segera tetapi tidak membina sebarang portfolio atau set kemahiran yang dapat digunakan untuk jangka masa panjang.

Faiz menekankan bahawa membina portfolio melalui ekonomi gig itu lebih penting daripada melakukan kerja sambilan yang hanya memperolehi wang tanpa meningkatkan nilai diri.

 

Antara manfaat berganda jika kerja sambilan yang anda buat ada kaitan dengan bidang utama kerjaya iaitu:

1. Mempertingkat kemahiran profesional

2. Memberi nilai kepada resume

3. Membantu dalam jaringan profesional.

Cari pendapatan sampingan melalui kerjaya sama untuk membina portfolio sendiri. -Gambar hiasan AI

Dalam pada itu Faiz menerusi video dimuat naik di TikTok [Tonton Video] turut membandingkan dua pekerjaan berbeza, iaitu kerja sambilan yang membina kemahiran seperti fotografi atau videografi, dengan tugas sebagai penghantar barang.

Jika anda mempunyai minat atau kemahiran lain seperti mengambil gambar atau video kreatif, ia boleh menjadi sumber pendapatan sampingan yang lebih bermanfaat, contohnya: 

1. Boleh ambil projek fotografi atau videografi secara sambilan.

2. Buatkan portfolio yang menunjukkan hasil kerja.

3. Gunakan portfolio tersebut untuk tarik lebih banyak klien atau peluang kerjaya.

Berbanding dengan kerjaya gig yang tidak boleh dibina menjadi manfaat dalam jangka masa panjang, selain memperoleh upah anda hanya akan berasa letih namun  tiada skil baharu dikenal pasti.

Untuk makluman, kerjaya gig bermaksud kerja jangka pendek atau tugasan berbayar yang dibuat mengikut permintaan, tanpa komitmen tetap.

Sebagai contoh bidang tanpa kemahiran seperti penghantar makanan atau berkemahiran khusus seperti penulis bebas atau pereka grafik.

Artikel Lain