PERBINCANGAN tentang gaji semasa temuduga merupakan langkah penting untuk menilai sejauh mana tawaran kerja itu sesuai dengan nilai dan kemampuan calon.
Dengan persediaan dan strategi yang tepat, calon bukan sahaja boleh berunding untuk mendapatkan nilai gaji yang wajar, malah mungkin lebih tinggi daripada jangkaan asal.
Berikut kami kongsikan empat tip untuk 'nego' gaji ketika sesi temuduga:
1. Lakukan kajian pasaran sebelum temuduga
Sebelum menghadiri temuduga, luangkan masa untuk memahami gaji standard bagi jawatan tersebut dalam industri.
Dengan memiliki data rujukan, calon akan lebih yakin apabila majikan bertanya mengenai jangkaan gaji mereka.
2. Elakkan menyebut angka gaji terlebih dahulu
Calon tidak boleh gelojoh, sebaliknya perlu bijak menyusun tutur kata semasa sesi 'nego' gaji.

Pekerja yang berkualiti sentiasa yakin dengan kemampuan diri mereka. -Gambar hiasan AI
Adalah lebih baik membiarkan majikan menyatakan julat gaji terlebih dahulu.
Menyebut angka lebih awal berisiko menyebabkan calon menerima tawaran yang lebih rendah daripada kemampuan sebenar syarikat atau majikan.
3. Tekankan nilai yang dibawa oleh calon
Semasa perbincangan gaji, nyatakan alasan kelayakan anda untuk jumlah yang diminta, termasuk pengalaman, kemahiran unik, atau pencapaian terdahulu.
Ini menunjukkan jumlah gaji yang diminta adalah selaras dengan sumbangan yang bakal diberikan kepada syarikat itu.
4. Kekal profesional dan yakin
Semasa perbincangan gaji, calon perlu menunjukkan sikap profesional dan sentiasa yakin dengan diri sendiri.
Jika majikan tidak dapat menawarkan gaji yang diminta, anda boleh menyatakan pendirian atau penolakan dengan cara berhemah.
Jika tidak berjaya mencapai kata putus dan angka yang dimahukan, terimalah hakikat yang syarikat itu mungkin bukan pilihan terbaik untuk anda.
Jangan putus asa, sebaliknya terus berusaha untuk mencari kerja di syarikat yang lebih menghargai bakat dan kemampuan anda.


