suria

Banyak impian, dalam masa sama mahu menabung... Ini 5 tip penting rancang kewangan 2026

Kewangan yang kukuh menjamin kehidupan lebih tenang. -Gambar hiasan

BERBAKI kurang dari dua bulan sebelum melangkah ke tahun baharu, ini waktu paling sesuai untuk menilai semula kewangan anda.

Dengan perancangan rapi dan langkah bijak yang dimulakan sekarang, anda berpeluang membina asas kewangan lebih kukuh bagi melangkah ke 2026 dengan lebih yakin.

1. Semak tabiat perbelanjaan

Luangkan masa untuk lihat ke mana duit anda dibelanjakan setiap bulan sepanjang 2025. 

Catat semua perbelanjaan supaya anda nampak dengan jelas bahagian mana yang boleh dikurangkan seperti langganan tidak digunakan atau makan di luar yang terlalu kerap.

2. Mulakan simpanan

Jika belum ada dana kecemasan, mulakan dengan jumlah kecil seperti RM5 atau RM10 sehari. 

Matlamatnya adalah untuk ada sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan gaji sebagai pelindung kewangan sekiranya berlaku hal tak dijangka.

3. Kurangkan hutang

Sebelum tahun baharu bermula, cuba selesaikan hutang kecil dahulu. 

Ini boleh membantu anda mengurangkan tekanan kewangan dan beri ruang untuk menyimpan lebih banyak pada tahun depan.

Banyak kursus kewangan ditawarkan secara dalam talian. -Gambar hiasan AI

4. Rancang bajet 

Tulis bajet anda untuk tahun depan dan tetapkan sasaran kewangan yang realistik, seperti berapa banyak mahu disimpan setiap bulan atau pelaburan yang ingin dimulakan.

Anda juga boleh membuat persediaan awal dengan merangka perbelanjaan akan datang. 

Contohnya perbelanjaan untuk menyambut Ramadan pada Februari serta kos balik kampung untuk Aidilfitri pada Mac.

Selain itu, anda juga pasti sudah tahu bila bayaran seterusnya untuk insurans kenderaan dan cukai jalan.

Jadi, segalanya boleh dirancang dari awal untuk mengelakkan bebanan kewangan yang mengejut apabila tiba masanya nanti.

5. Tambah ilmu

Gunakan baki masa tahun ini untuk tambah ilmu, sama ada baca buku, tonton video atau ikuti kelas dalam talian tentang pengurusan kewangan. Lebih banyak anda tahu, lebih bijak anda menguruskan duit atau kewangan.

Dengan langkah-langkah kecil ini, anda bukan saja akan masuk tahun baharu dengan lebih tenang, tetapi juga lebih bersedia dari segi kewangan untuk apa jua cabaran 2026 nanti.

 

Artikel Lain