MALAYSIA terus memperkukuh sistem percukaian negara seiring usaha pemodenan pentadbiran dan pendigitalan perkhidmatan awam.
Bermula 1 Januari 2026, Malaysia melangkah ke fasa baharu dalam pemodenan pentadbiran cukai dengan pengenalan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).
Melalui inisiatif ini, pembayar duti akan menaksir dan membayar duti setem secara digital terus melalui portal MyTax.
Ini selaras dengan hala tuju negara ke arah model digital-first dan pematuhan kendiri.
Peralihan ini menandakan perubahan besar daripada amalan penilaian rasmi oleh pihak berkuasa sebelum ini, kepada sistem taksir sendiri yang akan diperkenalkan secara berfasa antara tahun 2026 hingga 2028.
Ia juga seiring dengan dasar kerajaan yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, pematuhan sukarela serta pengukuhan tadbir urus fiskal tanpa menaikkan kadar cukai secara langsung.
Pelaksanaan berfasa STSDS
Pelaksanaan STSDS akan diperkenalkan secara berfasa mengikut garis masa berikut:
* Fasa 1 berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan suratcara Sewa/Pajakan, Sekuriti dan Penyeteman Am.
* Fasa 2 berkuat kuasa 1 Januari 2027 merangkumi suratcara Pindah Milik Harta Tanah yang tidak memerlukan nilaian JPPH.
* Fasa 3 berkuat kuasa 1 Januari 2028 meliputi semua kategori suratcara lain yang tidak termasuk dalam Fasa 1 dan Fasa 2.
Peralihan ini dilaksanakan melalui pindaan Akta Setem 1949 yang memberi kuasa undang-undang kepada pembayar duti untuk menaksir, mengira dan mengisytiharkan duti setem secara digital.
Ia turut memperkukuhkan kuasa audit serta penalti bagi meningkatkan pematuhan.
Bagaimana STSDS berfungsi
Di bawah sistem baharu ini, pembayar duti perlu mengemukakan Borang Nyata STSDS secara digital melalui MyTax.

Sistem digital ini berupaya mengurangkan kos pentadbiran kerajaan.
Setelah penyata tersebut difailkan, ia dianggap sebagai suatu taksiran kecuali pegawai pemungut memilih untuk melakukan penilaian rasmi.
Melalui sistem ini juga, pembayar duti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyimpanan rekod, pemfailan tepat pada masanya, dan pembayaran duti.
Kegagalan berbuat demikian pula boleh menyebabkan penalti lebih tinggi serta risiko audit.
Mengurangkan ketirisan dan mempercepat proses
Sistem ini juga dijangka meningkatkan pematuhan melalui pengurangan dokumen tidak atau kurang dimeterai, di samping mempercepat hasil kutipan kerana duti wajib dibayar ketika Borang Nyata STSDS difailkan.
Sistem digital ini dapat:
* Mengurangkan kos pentadbiran kerajaan,
* Meminimumkan pemprosesan manual, dan
* Membolehkan audit sasaran berdasarkan rekod digital.
Manfaat kepada pengguna dan sektor perniagaan
STSDS menawarkan beberapa faedah utama kepada pembayar duti dan industri:
* Proses digital yang diperkemas — tiada lagi keperluan menunggu notis taksiran.
* Lebih kawalan untuk perniagaan — pengguna menentukan penyerahan, pengiraan dan masa pembayaran.
* Pemprosesan lebih cepat — memendekkan tempoh dokumentasi pindah milik hartanah, urus niaga saham dan perjanjian komersial.
* Audit trail lebih jelas — mengurangkan kesilapan dan pertikaian.

Hong Kong, Singapura, UK dan Australia antara negara yang berjaya melaksanakan STSDS.
Dengan integrasi MyTax sebagai platform tunggal untuk cukai pendapatan, e-Invois dan kini duti setem, pematuhan cukai menjadi lebih mudah diurus oleh individu dan perniagaan.
Pengalaman antarabangsa dan pengajaran untuk Malaysia
Negara seperti Hong Kong, Singapura, United Kingdom (UK) dan Australia telah melaksanakan STSDS dengan kadar kejayaan yang tinggi.
Antara hasil ketara termasuk pemprosesan lebih cepat, pengurangan ketirisan, audit lebih berkesan, dan pengurangan kebergantungan kepada kaunter fizikal.
Bagaimanapun, pengalaman luar negara turut menunjukkan risiko seperti gangguan sistem, ketergantungan vendor serta isu keserasian antara platform.
Melihat situasi ini, Malaysia mengambil iktibar melalui pelaksanaan berfasa dan penyediaan sokongan teknikal untuk mengurangkan gangguan kepada penggunanya.
Kesediaan pengguna menentukan kejayaan
HASiL menasihatkan perniagaan, peguam dan pemain industri hartanah untuk mula mendaftar MyTax dan memahami aliran kerja STSDS sebelum tarikh kuat kuasa.
Walaupun terdapat tempoh peralihan melalui pelaksanaan berfasa, penalti yang lebih tinggi di bawah Akta Setem menuntut persediaan rapi oleh sektor korporat dan profesional.
Maklumat lanjut dan garis panduan boleh diperoleh melalui portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my/duti-setem/sistem-taksir-sendiri-duti-setem-stsds.


