suria

Kaya dengan kad Pokemon! Bukan sekadar koleksi biasa, tak sangka permainan ini boleh jadi aset pelaburan

Membeli kad bukan sekadar mengumpul, tetapi juga menyambung kenangan zaman kanak-kanak. -Gambar hiasan AI

FENOMENA Pokemon bukan sekadar permainan kanak-kanak, tetapi berubah menjadi pasaran koleksi bernilai tinggi.

Kad vintaj Pokemon, terutamanya yang jarang ditemui atau dalam keadaan tip-top, kini boleh dijual pada harga ratusan ribu hingga jutaan ringgit.

Damiral Imran dari Shah Alam, Selangor membuktikan perkara itu selepas berjaya menjual koleksi kad Pokemon miliknya pada harga RM1.87 juta pada Oktober lalu.

Koleksi kad Pokemon Damiral Imran yang berjaya dijual pada nilai RM1.87 juta. -Foto Facebook Damiral ImranKoleksi kad Pokemon Damiral Imran yang berjaya dijual pada nilai RM1.87 juta. -Foto Facebook Damiral Imran

Menariknya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menjual koleksi tersebut iaitu kurang daripada 10 hari selepas mengumumkan hasrat untuk menjualnya pada 18 Oktober.

Bagi yang tertanya-tanya bagaimana ia boleh terjadi, sebenarnya nilai tinggi kad ini bukan kebetulan kerana ia dipengaruhi oleh budaya nostalgia, ekonomi, dan pengaruh digital.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari bilik kecil di Shah Alam, cipta sejarah dalam dunia Pokemon... Pemuda berjaya jual koleksi kad RM1.87 juta!

Generasi millennials dan Gen X yang membesar dengan Pokemon kini mempunyai pendapatan sendiri dan mempunyai hubungan emosi dengan francais itu.

Satu perkara yang kita harus sedar ialah membeli kad bukan sekadar mengumpul, tetapi juga menyambung kenangan zaman kanak-kanak.

Gelombang nostalgia itu yang akan meningkatkan permintaan terhadap produk vintaj.

Bukan semua kad bernilai tinggi 

Nilainya bergantung kepada kelangkaan, keadaan kad, dan pengesahan profesional dengan kad yang dinilai PSA 10 boleh bernilai 10 hingga 100 kali ganda berbanding versi PSA 8. 

Permintaan untuk kad berkualiti tinggi akhirnya mencipta pasaran bertingkat di mana perbezaan satu mata penilaian boleh bermakna ribuan ringgit.

Selain itu, kad Pokemon kini turut dilihat sebagai aset pelaburan dengan pempengaruh media sosial dan pedagang di platform seperti eBay, TikTok dan YouTube menggunakan kad ultra-rare sebagai pelaburan alternatif.

Ia serupa dengan kasut keluaran terhad atau jam mewah dengan fenomena itu mencetuskan “FOMO” dan mendorong pembelian spekulatif, menjadikan harga kad melambung tinggi.

Beberapa faktor lain turut memacu nilai kad, termasuk cetakan terhad, peminat global, pengaruh selebriti, dan strategi pengeluaran terkawal oleh Pokémon Company. 

Contohnya, kad Pikachu Illustrator Promo 2020 berjaya dijual pada harga USD 900,000 (RM3.7 juta) antara kad perdagangan paling mahal pernah dicatatkan.

Fenomena itu membuktikan bahawa Pokemon bukan sekadar hobi nostalgia sebaliknya kini gabungan minat, pelaburan, dan budaya koleksi global, di mana setiap kad boleh menyimpan nilai sejarah dan potensi keuntungan yang tinggi.

Artikel Lain