suria

“Boleh buat belanja raya!” - Tak sabar tunggu duit ‘refund’ LHDN masuk? Ini 3 perkara penting perlu ambil tahu

Menghantar borang seawal hari pertama pembukaan e-Filing memberi peluang lebih tinggi untuk menerima bayaran lebih awal. -Gambar hiasan

SETIAP kali musim e-Filing, antara soalan paling kerap ditanya adalah, bila duit refund masuk?

Perkongsian pemilik akaun Threads @poket_cukai menjelaskan secara teknikal proses bayaran balik cukai atau tax refund yang perlu difahami bagi menuntut pelepasan cukai.

Berikut tiga perkara penting yang perlu anda tahu:

1. Apa itu bayaran balik cukai (tax refund)?

Bayaran balik cukai berlaku apabila jumlah Potongan Cukai Berjadual (PCB) yang dipotong majikan setiap bulan sebenarnya lebih tinggi daripada cukai sebenar yang perlu dibayar selepas mengambil kira pelepasan dan rebat, termasuk rebat zakat.

Sebagai contoh, jika cukai sebenar ialah RM1,000 tetapi PCB yang telah dipotong berjumlah RM1,500, maka lebihan RM500 itu akan dipulangkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

2. Berapa lama proses refund?

Secara amnya, LHDN menyasarkan bayaran balik dibuat dalam tempoh 30 hari bekerja selepas tarikh penghantaran e-Filing, dengan syarat tiada isu semakan atau audit.

Menurut perkongsian itu, menghantar borang seawal hari pertama pembukaan e-Filing memberi peluang lebih tinggi untuk menerima bayaran lebih awal, khususnya menjelang musim perayaan.

3. Cara semak status bayaran

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menekan pautan daripada e-mel atau SMS yang tidak pasti kesahihannya.

Cara paling selamat ialah dengan log masuk terus ke portal rasmi MyTax. 

Di bahagian papan pemuka (Dashboard), pembayar cukai boleh menyemak ruangan 'Status Bayaran Balik Cukai' atau melalui menu 'e-Lejar'.

Di situ, status akan dipaparkan sama ada masih diproses, sudah dibayar atau terdapat isu berkaitan maklumat akaun bank. Semoga bermanfaat!

Artikel Lain