suria

Lima perkara perlu diuruskan waris selepas kematian ibu atau bapa, senarai harta dan hutang paling utama

Setiap waris perlu berkumpul dan berbincang mengenai hutang serta harta si mati. -Gambar hiasan AI

KEHILANGAN ibu mahupun bapa pasti tidak dapat digambarkan dengan kata-kata namun apa yang pasti ia meruntun jiwa sesiapa sahaja.

Namun ia bukan alasan untuk meratap kesedihan untuk tempoh yang lama kerana pelbagai urusan perundangan berkaitan kematian wajib diselesaikan segera bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Menerusi laman Instagram Firma Guaman Syafiq&Zharif, ada lima perkara wajib waris lakukan sebaik sahaja berdepan detik pemergian insan tersayang.

1. Daftar sijil kematian

Perkara utama yang perlu dilakukan waris adalah mendaftarkan kematian arwah di Jabatan Pendaftara Negara (JPN).

Dokumen ini sangat penting kerana tanpa sijil kematian, segala urusan rasmi termasuk bank, insurans dan agensi kerajaan tidak boleh diteruskan meskipun anda berjaya membuktikan diri sebagai waris. 

Sebaik sahaja dimaklumkan, kebiasaannya pihak bank akan membekukan semua akaun arwah bagi mengelakkan sebarang transaksi dilakukan.

2. Semak hutang si mati

Tidak dinafikan terdapat segilintir waris yang bersikap gelojoh dan hanya fikir soal pembahagian harta.

Sebaiknya, anda mengutamakan semakan hutang arwah terlebih dahulu terutama pinjaman perumahan, kenderaan, kad kredit mahupun sebarang komitmen lain.

Sebagai waris, anda perlu tahu jumlah sebenar tanggungan supaya ia dapat diselesaikan mengikut keutamaan dan undang-undang.

Pendaftaran kematian perlu dilakukan dengan kadar segera bagi memudahkan segala urusan rasmi. -Gambar hiasan

Pendaftaran kematian perlu dilakukan dengan kadar segera bagi memudahkan segala urusan rasmi. -Gambar hiasan

3. Kenal pasti dan senaraikan semua aset

Apa sahaja harta milik arwah perlu diisytiharkan oleh waris bagi memudahkan proses tuntutan dan pembahagian kelak.

Aset bukan semata-mata wang simpanan dalam bank mahupun rumah, tanah dan kenderaan yang dimiliki sebaliknya meliputi saham, pelaburan dan polisi takaful.

4. Kumpul semua waris untuk perbincangan awal

Acap kali kita mendengar tentang isu perebutan harta di kemudian hari, bukan?

Oleh itu, kesemua waris perlu berkumpul dan berbincang tentang hutang mahupun aset milik arwah.

Paling utama, jelaskan mengenai hutang yang dimiliki sebelum menyentuh isu pembahagian harta atau faraid.

Barulah tidak ada konflik yang pernajangan antara waris.

5. Lantik pentadbir harta

Seorang pentadbir perlu dilantik untuk menguruskan segala urusan berkaitan harta pusaka dan hutang milik si mati.

Kebiasaannya anak lelaki akan dipertanggungjawabkan dalam hal ini, namun sebenarnya, mana-mana waris yang dipersetujui boleh bertindak sebagai pentadbir.

Walau bagaimanapun, jika timbul pertikaian atau isu rumit, sebaiknya anda dapatkan khidmat peguam.

Artikel Lain