suria

Ada risiko suami tak jelas ‘akad’ beri hadiah barang kemas, niat gembirakan isteri boleh undang masalah

Barang kemas yang diberikan sebagai hadiah adalah milik penuh isteri. -Gambar hiasan AI

KEGEMBIRAAN seorang wanita apabila menerima hadiah istimewa daripada suami apatah lagi kalau ia barang kemas.

Bagaimanapun hadiah tersebut boleh menimbulkan kekeliruan terutama tentang hak pemilikan barang kemas sekiranya wanita terbabit meninggal dunia.

Timbul persoalan sama ada barang kemas tersebut perlu difaraidkan atau si suami berhak memilikinya?

Perunding Pewarisan Harta Islam, Izat Izham berkata jawapan kepada persoalan tersebut bergantung kepada niat semasa barang kemas berkenaan dihadiahkan kepada isteri.

"Sekiranya suami membelinya dan menghadiahkan atau hibah kepada isteri, maka barang kemas tersebut menjadi milik penuh isteri.

"Oleh itu, apabila isteri meninggal dunia terlebih dahulu, ia wajib difaraidkan kerana telah menjadi harta pusaka si mati dan suami tidak boleh mengambilnya sesuka hati," jelasnya di Threads.

Tambah Izat, seandainya terdapat ayat abang beli tapi awak pakai je, ini emas abang, itu bermaksud ia adalah hak milik si suami.

"Sekiranya jelas ia bukan hibah, maka barang kemas itu masih milik suami dan tidak termasuk dalam pusaka sekiranya isteri meninggal dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati para suami supaya menyatakan dengan jelas tentang niat apabila memberikan barang kemas kepada isteri.

Artikel Lain