DUNIA dikejutkan dengan berita terkorbannya pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), pada Ahad.Dalam serangan tersebut, anak perempuan Khamenei, cucu, menantu lelaki dan menantu perempuannya turut terbunuh, lapor media Iran. Kematian Khameini dijangka memberi kesan besar terhadap kestabilan politik dalaman Iran serta meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah. ARTIKEL BERKAITAN: Iran sahkan Ayatollah terbunuh, ketegangan di rantau Timur Tengah dijangka memuncakMungkin masih ramai yang kurang mengenali figura ini serta peranan besarnya dalam pentadbiran Iran.Beliau bukan sahaja pemimpin tertinggi negara itu, malah merupakan tokoh agama yang mempunyai pengaruh luas dalam menentukan hala tuju politik, keselamatan dan dasar luar Iran sejak beberapa dekad lalu.Berikut merupakan 10 fakta mengenai Khamenei: 1) Dilahirkan di Mashhad, kota terbesar kedua di Iran pada 1939.2) Anak kedua daripada lapan beradik dalam keluarga yang kuat berpegang pada ajaran agama. Bapanya ialah seorang ulama Syiah.Rakyat Iran turun ke jalanan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei.3) Sejak kecil mendalami pengajian al-Quran dan ilmu agama, malah diiktiraf sebagai ulama seawal usia 11 tahun.4) Dikenali sebagai tokoh yang berpengaruh, beliau menyertai gerakan menentang Shah Iran yang akhirnya digulingkan dalam Revolusi Islam.5) Pernah hidup secara bersembunyi dan dipenjarakan beberapa kali oleh polis rahsia Shah; beliau turut diseksa dan dibuang negeri dalam negara.6) Setahun selepas Revolusi Islam 1979, Ruhollah Khomeini melantiknya sebagai imam solat Jumaat di Teheran. Khutbah mingguannya disiarkan ke seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kepimpinan baharu Iran.7) Dipilih sebagai Presiden Iran pada tahun 1981.8) Terselamat daripada cubaan bunuh pada Jun 1981, namun mengalami kecederaan parah sehingga kehilangan fungsi lengan kanannya secara kekal.9) Selepas kewafatan Ruhollah Khomeini pada 1989, beliau dipilih sebagai pengganti oleh Majlis Kepimpinan.10) Sebagai pemimpin tertinggi, beliau mempunyai kuasa luas termasuk memveto dasar awam dan melantik calon jawatan penting, selain bertindak sebagai ketua negara dan panglima tertinggi angkatan tentera termasuk Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).