suria

Santai panjat Taipei 101... Otak 'rare' tak takut ketinggian antara 8 fakta menarik Alex Honnold

Alex Honnold mengambil masa lebih sejam setengah untuk tiba di puncak Taipei 101. - Tangkap layar YouTube Netfix

PENDAKI terkenal dari Amerika Syarikat, Alex Honnold, mencipta sejarah apabila berjaya memanjat bangunan pencakar langit Taipei 101 setinggi 508 meter tanpa menggunakan tali atau peralatan keselamatan.

Pendakian yang mengambil masa lebih satu jam setengah itu disaksikan jutaan penonton di seluruh dunia menerusi program khas Skyscraper Live memaparkan aksi ekstrem yang disiarkan secara langsung menerusi Netflix.

Honnold, 40, yang pernah mencuri perhatian dunia menerusi dokumentari pemenang Oscar Free Solo pada 2019, memanjat bangunan setinggi 101 tingkat itu hanya menggunakan tangan dan kakinya, berpaut pada struktur besi serta balkoni bangunan.

Alex Honnoldtidak menggunakan sebarang tali dan perkakasan keselamatan ketika memanjat. -Instagram Alex HonnoldAlex Honnold  tidak menggunakan sebarang tali dan perkakasan keselamatan ketika memanjat. -Instagram Alex Honnold

Sorakan orang ramai bergema apabila dia memulakan pendakian, malah suasana menjadi lebih tegang apabila Honnold berhenti seketika di pertengahan bangunan sebelum meneruskan cabaran.

“Pemandangannya sangat indah. Angin kuat, jadi saya hanya fikir jangan jatuh. Tapi ia satu pengalaman luar biasa,” katanya selepas berjaya menamatkan pendakian.

Bagaimanapun, aksi tersebut mencetuskan kritikan daripada komuniti pendaki yang menyifatkannya terlalu berisiko dan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila disiarkan secara langsung.

Fakta menarik Alex Honnold

1. Pendaki free solo paling terkenal dunia

- Alex Honnold dikenali sebagai satu-satunya pendaki yang mampu memanjat tebing tinggi tanpa tali, tanpa 'harness' dan tanpa perlindungan keselamatan.

2. Tidak takut ketinggian 

- Kajian imbasan mendapati bahagian otaknya yang mengawal rasa takut kurang aktif berbanding manusia biasa, menjadikan dia lebih tenang dalam situasi ekstrem.

3. Tidak suka glamor, hidup sederhana

- Walaupun terkenal dan bergelar jutawan, Honnold pernah tinggal di dalam van selama bertahun-tahun demi menjimatkan wang dan fokus kepada pendakian.

4. Ambil masa bertahun rancang satu pendakian

- Setiap aksi free solo bukan dibuat secara semberono.

- Honnold menghafal setiap pergerakan, genggaman dan laluan selama berbulan atau bertahun.

5. Kini seorang suami dan bapa

- Honnold berkahwin dengan Sanni McCandless dan mempunyai seorang anak perempuan, menjadikan setiap pendakian kini lebih berisiko dari sudut emosi.

6. Pendakian Taipei 101 paling kontroversi

- Aksinya memanjat bangunan tertinggi Taiwan tanpa tali mencetuskan perdebatan global dengan ada yang kagum, ada yang menganggap ia terlalu berbahaya.

7. Ada yayasan sendiri

- Dia menubuhkan Honnold Foundation yang membantu komuniti miskin mendapatkan tenaga solar di seluruh dunia.

8. Pegang prinsip hidup: Masa itu terhad

- Menurutnya, manusia sering menangguhkan impian sedangkan hidup ini singkat dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Artikel Lain