suria

Bisnes baju bermula dari bilik tidur, kini sudah ada ‘showroom’ sendiri... Mahu bantu ramai anak muda jana pendapatan lumayan!

Pengasas MM Apparel ini baru sahaja menamatkan pengajiannya pada tahun 2024.

PEMBUKAAN sebuah galeri jualan menjadi bukti kepada usaha keras dan kesungguhan usahawan muda, Muhammad Amin Syarifuddin Aziz, 24, dalam dunia perniagaan pakaian.

Menurut graduan Kolej Poli-Tech Mara (KPTM) Bangi, Selangor itu, dia bersyukur dengan pencapaian tersebut selepas memulakan perjalanan hanya dari sebuah bilik tidur.

"Perniagaan cetak pakaian ini bermula ketika semester akhir saya di KPTM. Bermula dari bilik tidur kecil, berbekalkan sebuah laptop depan katil, kini saya dah buka showroom

"Ini bukti saya serius dalam bisnes. Showroom ini baru dibuka pada Oktober dan ia terletak di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Bagi saya, ia adalah satu proses upgrade untuk diri sendiri. 

Pembukaan showroom jadi bukti kesungguhan Amin dalam perniagaan.

"Saya pun memang dah lama berazam untuk buka showroom, Alhamdulillah kini bisnes semakin berkembang maju," ujar pengasas MM Apparel itu kepada mStar.

Selepas menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan tahun lalu, Amin berkata dia juga sudah mencapai banyak kejayaan bermakna dalam hidupnya.

"Dalam tempoh setahun selepas graduasi, saya dah berjaya capai jualan lebih setengah juta. Saya juga menerima Anugerah Ikon Usahawan KPTM 2024 ketika majlis graduasi tahun lepas. 

"Selain itu, saya juga menerima Anugerah Usahawan Madani 2024 dan 2025 yang diberikan oleh Dewan Perniagaan Datuk Dato' Malaysia.

Amin dan rakan perniagaannya, Irfan berhasrat membantu anak muda di luar sana menjana pendapatan bersama jenama MM Apparel.

"Tapi saya tak terus rasa selesa. Ini semua jadi cabaran untuk saya terus berusaha dan majukan bisnes," kongsinya lagi.

Tambah Amin, dia bukan sahaja menerima pelanggan dari seluruh Malaysia, malah perniagaannya juga sudah menembusi pasaran luar seperti Brunei.

Selain kualiti dalam setiap helaian yang dihasilkan, Amin berkata syarikatnya itu juga mampu menyiapkan tempahan baju dalam tempoh seawal tiga hari selepas tempahan.

Mahu bantu anak muda

Di sebalik kejayaan bermakna itu, Amin mendedahkan dia turut dibantu oleh rakan perniagaannya, Wan Irfan Izz Hariz, 21, yang juga penuntut Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Paling penting kata Amin, dia dan Irfan juga mahu menyediakan platform dan berhasrat membantu lebih ramai anak muda untuk menjana pendapatan bulanan dengan mudah.

Antara pencapaian bermakna yang diraih Amin sejak menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

"Pada masa kini, kami fokus untuk membantu anak muda jana pendapatan RM1,000 ke RM5,000 sebulan bersama kami dengan cara menjadi agen penjualan perkhidmatan kami.

"Impian dan harapan kami untuk masa akan datang agar dapat membantu lebih ramai lagi anak muda untuk berjaya bersama kami. Ini satu tanggungjawab untuk kami membantu anak muda yang lain berjaya dalam perniagaan.

"Kami juga berharap ini akan dapat menjadi salah satu inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menjadi seorang yang berjaya," ujar Amin.

Untuk rekod, Amin memulakan bisnes baju pada Ogos 2022.

Selain baju, Amin juga mengusahakan perniagaan air jagung yang cukup popular setiap kali bulan Ramadan.

Artikel Lain