NAMA Ahmed al Ahmed kini disebut-sebut sebagai simbol keberanian selepas bertindak berani mematahkan serangan dilakukan seorang lelaki dan merampas senjata api yang digunakan dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney, Australia pada Ahad.
Dalam rakaman tular, Ahmed, 43, dilihat kamera berlari ke arah penyerang sebelum berjaya mengawal senjata digunakan dan memaksa penyerang berundur.
Tindakan nekad dan pantas Ahmed dikatakan telah menyelamatkan banyak nyawa dalam insiden yang sangat mencemaskan itu.
Rakaman video [tonton video] yang disahkan BBC menunjukkan Ahmed keluar dari tempat persembunyian di belakang sebuah kereta sebelum bergelut dengan penyerang.
Selepas berjaya merampas senjata, dia menghalakannya ke arah suspek, menyebabkan lelaki itu berundur ke arah jambatan berhampiran.

Mustafa (kanan) menjelaskan keadaan Ahmed selepas ditembak dua kali.
Dalam situasi genting itu, Ahmed kemudian menurunkan senjata dan mengangkat sebelah tangan dipercayai bagi menunjukkan kepada pihak berkuasa bahawa dia bukan penyerang.
Menurut keluarganya, Ahmed yang merupakan pemilik kedai buah-buahan dan bapa kepada dua anak kini masih dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan akibat cedera ditembak.
Sepupunya, Mustafa, menyifatkan Ahmed sebagai wira sejati selepas terkena dua tembakan di bahagian lengan dan tangan.
Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns, memuji Ahmed sambil menyifatkannya sebagai hero sebenar yang menyelamatkan banyak nyawa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata tindakan Ahmed membuktikan ada individu sanggup berdepan bahaya demi menyelamatkan orang lain.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut memuji keberanian Ahmed, menyatakan rasa hormat terhadap tindakannya yang berani berdepan secara langsung dengan penyerang.
Rakaman aksi Ahmed itu kini tular di media sosial, dengan ramai menyifatkannya sebagai contoh keberanian luar biasa orang awam yang bertindak tanpa memikirkan keselamatan diri demi orang lain. -Agensi


