ORANG ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum membeli rumah pertama bagi mengelakkan tekanan kewangan jangka panjang.Menurut pensyarah dan pakar dalam bidang hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad, kesilapan membuat keputusan awal boleh menyebabkan seseorang terperangkap dengan komitmen tinggi sehingga menjejaskan kualiti hidup. “Rumah pertama sebaiknya kecil dan sederhana. Jangan terus kejar rumah besar atau unit studio mewah kerana risikonya tinggi,” katanya.Dr Azizul menjelaskan, bayaran ansuran rumah sepatutnya tidak melebihi 30 peratus daripada pendapatan bulanan.Buat penilaian beban kewangan terlebih dahulu sebelum membeli kediaman. -Gambar hiasan AI“Kalau gaji RM4,400 bayaran rumah sebaiknya sekitar RM1,320 sahaja. Lebih daripada itu, kewangan akan mula tertekan."Jika kadar sewa rumah sekitar RM1,500 tetapi ansuran pembelian mencecah RM3,000 sebulan, lebih baik menyewa terlebih dahulu.“Duit boleh simpan RM1,500 sebulan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan pulangan lima peratus setahun," katanya.Beliau turut mengingatkan pembeli supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pihak bank yang menggalakkan pembiayaan maksimum termasuk kos ubah suai rumah.“Kita jadi seronok apabila dengar boleh buat renovation besar, rumah cantik. Akhirnya, kita yang menanggung hutang bertahun-tahun,” katanya.Beliau turut menegaskan bahawa servis apartmen dibina atas tanah komersial, menyebabkan kos penyelenggaraan dan bil utiliti lebih tinggi.Dr Azizul menegaskan bahawa membeli rumah bukan satu kesalahan, namun kesilapan memilih rumah boleh membawa kesan besar kepada kewangan dan emosi.“Rumah itu keperluan, bukan idaman. Jangan salah beli, kerana jalan untuk keluar sangat panjang dan menyakitkan," katanya.Rumah yang ideal menurut Dr Azizul- Tiga bilik tidur- Dua bilik air- Harga mampu milik- Mudah disewa atau dijual semula