suria
mStar - Urban.Versatil

Wanita dicekik, mayat dicampak dalam tangki kumbahan! Suspek rimas mangsa desak ajak kahwin

Mayat mangsa pembunuhan akan dilakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian. -Gambar hiasan

MAYAT seorang wanita berusia 33 tahun ditemukan dalam keadaan reput di dalam tangki septik di sebuah kawasan tanah kosong, dipercayai dibunuh kekasihnya.

Menurut polis, mangsa yang dikenal pasti sebagai Ashrafi @ Siya, dipercayai dicekik kekasihnya selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Mayat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kotak besi dan dibuang ke dalam tangki septik berhampiran rumah suspek di Kamla Nagar, Bhopal, India, bagi menghapuskan bukti.

Difahamkan hubungan mereka bermula di Instagram kira-kira setahun lalu sebelum bertukar menjadi pasangan kekasih.

Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak dilaporkan sering bertengkar dengan mangsa kerana wanita itu dilaporkan kerap mendesaknya untuk berkahwin, sekali gus mencetuskan konflik berterusan.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, pertengkaran dipercayai memuncak sehingga membawa kepada pembunuhan. 

Polis percaya suspek turut meminta bantuan ahli keluarganya untuk melupuskan mayat.

Mayat mangsa ditemukan selepas kanak-kanak yang bermain berhampiran terhidu bau busuk dari tangki tersebut sebelum penduduk memaklumkan kepada polis.

Setakat ini polis masih mengesan suspek yang melarikan diri, manakala abang, ibu dan kakaknya telah ditahan kerana disyaki bersubahat.

Isteri suspek juga sedang disiasat dan polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu terlibat. -Agensi

 

Artikel Lain