suria
mStar - Urban.Versatil

22 murid ditelanjangkan beramai-ramai dalam kelas! Cikgu dakwa hilang RM17 geledah beg, periksa setiap inci tubuh

Guru wanita terbabit kini dipindahkan ke sekolah lain susulan kejadian berkenaan.

SEORANG guru wanita mengundang kecaman ramai apabila dia bertindak menanggalkan pakaian 22 murid selepas mendakwa wang miliknya hilang di dalam kelas.

Guru berkenaan mendakwa kehilangan wang sebanyak 200,000 rupiah Indonesia (RM46) pada 5 Februari dan 75,000 rupiah Indonesia keesokan harinya (6 Februari). 

Difahamkan wang berjumlah 75,000 rupiah Indonesia (RM17.40) yang hilang pada hari kedua itu adalah mas kahwin pemberian suaminya.

Ia disimpan di dalam dompet dan diletakkan dalam beg tangannya.

Susulan itu, dia menggeledah beg murid serta mengarahkan pelajar lelaki membuka semua pakaian mereka,

Manakala murid perempuan diminta menanggalkan pakaian kecuali pakaian dalam.

Insiden melibatkan murid darjah lima tersebut berlaku di sebuah sekolah rendah di Jember, Jawa Timur, Jakarta Indonesia.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pendidikan Jember, Arief Tjahjono memaklumkan hasil siasatan mendapati guru terbabit mengaku sering kehilangan wang setiap kali selesai mengajar di kelas berkenaan.

Guru berkenaan dipercayai keluar sebentar ke tandas ketika sesi pembelajaran sebelum mendapati wang tersebut hilang.

Bagaimanapun wang itu tidak berjaya ditemukan walaupun semua murid telah diperiksa dan dipaksa menanggalkan pakaian.

Susulan itu, pihak berkuasa pendidikan memaklumkan guru tersebut dipindahkan ke sekolah lain.

Pada Sabtu, Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) mengecam keras tindakan guru terbabit yang didakwa memaksa murid menanggalkan pakaian.

Ketua Jawatankuasa DPR RI, Hetifah Sjaifudian menegaskan tiada sebarang alasan yang boleh membenarkan perbuatan itu serta menekankan bahawa sekolah bukannya tempat menjatuhkan maruah pelajar. -Agensi

Artikel Lain