suria
mStar - Urban.Versatil

Kaki dan tangan diikat, wajah ditutup guna plastik! Lelaki ditemukan maut tepi sawah, dipercayai dibelasah guna batang ubi kayu

Lokasi Lani dipukul beberapa individu sebelum ditemukan tidak bernyawa.

SEORANG pemuda terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan nyawa bapanya yang ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati di kawasan sawah.

Mangsa, Lani, 53, ditemukan tidak bernyawa dengan tangan dan kaki terikat serta bahagian wajahnya juga ditutup menggunakan plastik.

Anak mangsa, Habul Hamid berkata, dia menerima panggilan telefon daripada orang ramai yang memaklumkan bapanya terlibat pertengkaran dengan beberapa individu di lokasi berkenaan.

Kejadian pada Khamis itu berlaku di kawasan sawah Jampang Kulon, Sukabumi, Indonesia.

Menurut Habul, dia sempat meminta orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa dan menunggu kehadirannya.

Dia terus bergegas dari rumah menunggang motosikal ke lokasi yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.

Namun setibanya di tempat kejadian, bapanya sudah meninggal dunia.

Terdapat kecederaan serius di bahagian belakang kepala yang dipercayai akibat hentakan objek tumpul serta kesan lebam pada muka.

Di sekitar lokasi turut ditemukan potongan batang ubi kayu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Habul mengesyaki bapanya menjadi mangsa pukul beramai-ramai.

Jelasnya, dia tidak menolak kemungkinan wujud unsur dendam susulan pertikaian lama yang didakwa sudah diselesaikan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polres Sukabumi, AKP Hartono mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak polis sedang mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan untuk melengkapkan laporan. -Agensi

Artikel Lain