suria
mStar - Urban.Versatil

Masalah sistem bunyi, penganjur Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella buat laporan polis

Pihak penganjur konsert Ella sudah lakukan siasatan terhadap kejadian tersebut.

PENGANJUR Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan dicemari dengan insiden gangguan sistem bunyi di tingkat tiga acara berkenaan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Wakil penganjur, Hitman Solutions dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan dibuat mendapati sistem bunyi telah ditukar format tetapannya dan berubah kepada sistem 'default' sehingga mengalami gangguan teknikal pada malam itu. 

“Setelah mengambil kira kebimbangan ramai yang terkesan melalui pemerhatian di media sosial, pihak penganjur telah mengadakan satu mesyuarat teknikal bersama pihak Perbadanan Stadium pengurusan Ella, pembekal sistem bunyi (Digital Aid) dan pasukan teknikal yang telah terlibat bagi menyiasat aduan atas perkara yang berlaku pada Isnin, 16 Februari 2026 jam 2:00 petang.

Penonton sebelum ini meluahkan rasa kesal terhadap sistem bunyi konsert Ella.

“Pada Sabtu, 14 Februari 2026, setelah kami menerima aduan daripada penonton di tingkat 3, pihak teknikal vendor telah bergegas ke bilik SRS yang menempatkan kawalan sistem bunyi stadium tingkat 3 yang bertempat di tingkat 2 SNBJ dan mendapati bahawa sistem berkenaan telah ditukar format tetapannya dan telah berubah kepada sistem 'default' bukan seperti yang telah ditetapkan seperti semasa raptai dilakukan.

“Walaubagaimanapun, pihak teknikal telah menyelesaikan isu ini sekitar jam 9:50 malam. Pihak kami memandang serius akan perkara ini dan satu laporan polis telah dibuat pada 16 Februari 2026 jam 5:26 petang,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mengubati kekecewaan peminat yang mengalami pengalaman gangguan audio, penganjur sedang dalam perbincangan untuk memberikan imbuhan bersesuaian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di Threads, penonton kecam sistem bunyi Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella... “Macam pembesar suara sekolah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Biarkan sahaja” – Ella terbuka terima kecaman, tidak kisah dibandingkan dengan artis lain

“Kami memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan pihak penganjur sedang berbincang bagi memberikan imbuhan bersesuaian kepada pemegang tiket Bronze yang terkesan dengan kejadian tersebut,” katanya.

Terdahulu media melaporkan ketidakpuasan hati pengunjung Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella yang dikatakan berdepan kualiti sistem bunyi tidak memuaskan di tingkat 3 konsert tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain