suria
mStar - Urban.Versatil

Chef Zam mohon maaf, ramai tidak faham maksud ‘menggeletis’ balik kerja awal…”Kena cuit sikit pun tak tahan hasutan”

Chef Zam tidak mudah melatah berdepan kecaman.

TERBUKA menerima kecaman, cef selebriti, Profesor Datuk Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam tidak menyangka hantaran dibuat di media sosial sebelum ini menerima reaksi ramai. 

Lebih mengejutkan apabila terdapat kata-kata hinaan daripada pengguna media sosial yang seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan. 

Kata Chef Zam, luahan rasa marah sesetengah pihak juga seakan-akan menggambarkan hilangnya rasa sabar manusia apabila berdepan isu kecil. 

Sebagai selebriti berpengalaman, Chef Zam bijak berdepan kritikan. 

"Kena cuit sikit pun tak tahan godaan dan hasutan. Siap ada pakej maki dan mencarut. 

"Malah ada dalam kalangan ibu muda dan anak gadis. Gambar profil macam lindungan Kaabah, tetapi menakutkan. 

"Banyak juga akaun palsu yang memang sejak dahulu suka mencarut di media sosial. Bagaimana nak habiskan 28 hari Ramadan?,” katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Chef Zam dikecam selepas pertikai umat Islam ‘menggeletis’ nak balik kerja awal… “Kau ingat pejabat depan pintu rumah ke?” 

ARTIKEL BERKAITAN: Program masakan sudah jadi hiburan, tiada ilmu manfaat kepada penonton - Chef Zam

Chef Zam berkata demikian sebagai respons kecaman netizen susulan luahannya tentang sesetengah pihak yang tergesa-gesa untuk pulang ke rumah selepas waktu bekerja sepanjang bulan Ramadan. 

Ramai yang menganggap dia kurang sensitif terhadap keperluan atau tanggungjawab di rumah. 

Malah tidak kurang juga melabelkan Chef Zam sebagai keterlaluan kerana melihat dia sebagai individu yang berkemampuan. 

Hantaran Chef Zaam menimbulkan rasa kurang senang ramai. 

Menjelaskan situasi sebenar, Chef Zam memberitahu apa yang ditulis hanyalah untuk melihat reaksi ramai berkaitan situasi yang sering berlaku. 

"Apa yang saya maksudkan menggeletis itu adalah bergegas atau tergesa-gesa. Tapi apabila dibaca mereka, nadanya tak seperti yang dimaksudkan. 

"Maka membuaklah perasaan marah mereka sebab dikatakan saya ini tidak faham keadaan dan tiada empati.

"Apapun, saya mohon maaf jika kenyataan saya menyebabkan kemarahan orang ramai.  Tersilap pilih perkataan," luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Artikel Lain