suria
mStar - Urban.Versatil

Warga emas alami kemurungan tembak mati anak lelaki... Dakwa kecewa tak penuhi harapan

Kemurungan boleh menyebabkan seseorang cenderung bertindak di luar kawalan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga emas menembak mati anak lelakinya yang berusia 30 tahun di rumah mereka dalam kejadian pada Khamis, dipercayai kerana kecewa dengan mangsa.

Menurut polis, insiden tragis itu berlaku di sebuah rumah di daerah Hua Hin, Prachuap Khiri Khan, Thailand.

Difahamkan, kejadian disedari oleh anak perempuan suspek yang terdengar bunyi letupan kuat, sebelum menemui bapanya memegang pistol di luar bilik tidur abangnya.

Dia segera menghubungi polis selepas mendapati abangnya sudah tidak bernyawa.  

Ibunya ketika itu tiada di rumah kerana pergi ke pasar.

Polis yang tiba di lokasi menemui suspek duduk di luar rumah dalam keadaan terkejut dan hampir tidak mampu berjalan sehingga terpaksa dipapah untuk ke kereta peronda.

Sementara itu, mayat mangsa ditemui di atas katil di bilik tidur tingkat atas dengan kesan tembakan di kepala. 

Senjata api yang dipercayai digunakan oleh suspek ditemui di tangga kediaman tersebut.

Siasatan awal polis mendapati suspek mengalami kemurungan dan telah menerima rawatan sebelum ini. 

Suspek turut mengaku membunuh anaknya kerana kecewa mangsa tidak memenuhi jangkaan yang diharapkan.

Polis berkata tindakan undang-undang akan diteruskan, dengan mengambil kira keadaan mental suspek. -Agensi

Artikel Lain