suria
mStar - Urban.Versatil

“Pekak badak, patut tak laku” - Sedih dengar mak dihina pelanggan, peniaga bazar pertahan ibu OKU gigih cari rezeki

Jaga bahasa dan adab ketika berurusan jual beli. -Gambar hiasan AI

PELBAGAI kerenah pelanggan sepanjang Ramadan menjadi 'asam garam' buat peniaga bazar, namun satu insiden yang dikongsikan wanita ini benar-benar menggores hati.

Menerusi perkongsian di media sosial, dia berasa kecewa apabila ibunya yang mempunyai masalah kurang pendengaran diperlekehkan seorang pelanggan ketika mereka berniaga di bazar Ramadan.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang melayan pelanggan lain manakala ibunya berada berhampiran gerai yang tidak dinyatakan lokasi ini.

"Saya tolong mak berniaga di bazar. Ada seorang akak ni cakap dengan mak kak ni berapa? Mak saya tak tengok akak tu. Mak toleh ke belakang.

"Lepas tu dia panggil mak saya lagi kak ni berapa ni? Mak saya pusing lagi sekali ke belakang dan terus dia jalan pergi ke arah lain. 

Ramai orang memilih untuk membeli juadah berbuka di bazar pada bulan puasa. -Gambar hiasan

"Masa tu ada pelanggan lain datang membeli. Dia sound mak saya dia cakap pekak badak, patut tak laku," ujar wanita itu dalam luahannya di Threads.

Mendengar sindiran itu, dia terus tampil memohon maaf kepada pelanggan berkenaan sambil menjelaskan ibunya sememangnya mempunyai masalah pendengaran.

Menurutnya, ibunya juga memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) namun pelanggan terbabit tetap mempertikaikan dengan menyatakan individu yang pekak tidak seharusnya berniaga.

"Saya cakap dekat pelanggan tu mak memang tak dengar. Dia ada masalah pendengaran. Mak ada kad OKU. Minta maaf ya. Pelanggan tu cakap pekak-pekak tak payah menjual la.

ARTIKEL BERKAITAN: Bengang, menyesal support! Pelanggan ‘ajar’ peniaga bazar tak pandai masak, bagi reviu paling jujur - “Langsung tak sedap kak”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki kena scam peniaga bazar Ramadan, tahan marah dapat murtabak rentung! - “Ni aku malas beli dah siap bungkus”

"Lepas tu mak datang dekat, dia tanya saya sembang apa dengan orang tu. Saya cakap tak ada apa la, dia tanya dekat mana jual cucur udang. Mak pun senyum," jelasnya lagi.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata bersimpati serta menyarankan agar notis makluman diletakkan di hadapan gerai bagi mengelakkan salah faham.

"Sekadar cadangan, boleh cetak notis atas kertas saiz A4 dan letak depan booth bazar awak. Sekadar makluman pada pelanggan sekiranya awak pergi solat atau tandas.

"Mungkin masa tu tak ada siapa nak bantu ibu kalau tiba-tiba pelanggan macam tu datang semula.

"Mak saya pun tak dengar tapi saya tak akan bertolak ansur dengan orang cakap kurang ajar dengan mak. Patut awak dah minta maaf, dia kena bertenang bukan kata pekak jangan berniaga," komen beberapa netizen.

  • Peniaga bazar terkilan ibu kurang pendengaran dihina pelanggan.
  • Pelanggan keluarkan kata-kata kurang sopan terhadap ibu OKU.
  • Anak sembunyikan perkara sebenar demi jaga hati ibu.
  • Netizen cadang letak notis makluman di gerai.
  • Anak jelaskan ibu tetap gigih berniaga demi anak-anak bersekolah.

Membalas beberapa komen netizen, pengadu menjelaskan ibunya masih gigih membantu berniaga meskipun sudah berusia kerana keluarga masih mempunyai tanggungan.

"Tu mak saya, dia (pelanggan) cakap macam tu buatkan saya rasa sedih. Kesian mak, dah tua-tua pun nak berniaga. Ramai cakap tua-tua tu rehat la.

"Tapi mak masih ada tanggungan tiga orang bersekolah. Abah saya pun ada masalah sama, kurang pendengaran.

"Mak saya jarang duduk depan (ketika berniaga di gerai). Dia duduk di belakang je sebab tahu dia kurang pendengaran. Lagipun dia datang sekejap je tengok anak-anak berniaga, lepas tu dia pulang," katanya.

Artikel Lain