suria
mStar - Urban.Versatil

“Belum sedia beli rumah di Malaysia melainkan dijemput suami di sini” - Rossa

Rossa selesa ulang alik Malaysia dan Indonesia.

PENYANYI Rossa masih belum mempunyai perancangan untuk memiliki kediaman di Malaysia meskipun kerap berulang-alik atas urusan kerja.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 47, berkata walaupun Malaysia sudah dianggap sebagai rumah keduanya, dia secara peribadi tidak pernah terfikir untuk membeli hartanah di sini.

“Saya tak pernah ada perancangan untuk membeli rumah di sini, tapi syarikat pengurusan saya ada. Cuma saya sendiri memang belum terfikir ke arah itu.

Rossa tak mahu berjauhan dengan keluarga.

“Ini tempat yang saya suka, jadi saya takut kalau sudah ada rumah nanti terus rasa mahu tinggal di sini,” katanya kepada mStar.

Menurut penyanyi lagu Tegar itu, faktor keluarga menjadi keutamaan dan sebab utama dia tidak merancang untuk menetap di luar Indonesia.

Jelasnya, dia tidak menolak kemungkinan untuk berpindah sekiranya mempunyai alasan yang kukuh suatu hari nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Rossa kali pertama kendali podcast, anggap ‘me time’ bersama Nora Danish dan Natasha Ozeir

ARTIKEL BERKAITAN: Rossa hubungi Nora Ariffin, selesai isu royalti Sinaran secara baik... “Saya baru tahu arwah adalah kenalan lama”

“Anak saya ada di Indonesia, keluarga saya pun semuanya di sana. Kalau saya berpindah ke sini nanti jadi agak jauh dengan mereka.

“Tapi mungkin kalau dijemput suami di sini,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Rossa turut terlibat dengan podcast Habis Cerita yang turut dikendalikan oleh Nora Danish dan Natasha Ozeir.

Nora, Rossa, dan Natasha pertama kali kendalikan podcast bersama.

Disebabkan komitmen tersebut, dia akan berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia bagi menjayakan rakaman podcast berkenaan.

Malah, uniknya beberapa episod turut dirakam di Indonesia bersama artis jemputan dari negara itu.

“Bukan ada tetamu dari Malaysia saja tapi podcast ini juga akan menjemput beberapa rakan saya di Indonesia. Buat masa sekarang kami tak boleh dedahkan siapa orangnya,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain