suria

Rossa hubungi Nora Ariffin, selesai isu royalti Sinaran secara baik... “Saya baru tahu arwah adalah kenalan lama”

Rossa sudah menghubungi Nora untuk menjelaskan isu royalti.

ISU rakaman semula lagu Sinaran akhirnya selesai secara baik apabila penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa tampil menjernihkan keadaan dan menganggap segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

Rossa berkata, dia memahami usaha Datuk Nora Ariffin dalam memperjuangkan hak waris arwah suaminya yang juga komposer Johan Nawawi selaku komposer lagu ikonik tersebut.

Rossa, 47, mengakui terkejut apabila mengetahui wujud polemik membabitkan lagu ciptaan Johan Nawawi dan Azlan Abu Hassan itu, namun menegaskan semua urusan bayaran royalti sebenarnya sudah diselesaikan tanpa sebarang masalah.

“Saya sendiri terkejut apabila mengetahui isu ini. Kami memang sudah membuat bayaran dan tiada masalah.

Rossa berkolaborasi bersama MK K-Clique menerusi lagu Sinaran.

Rossa berkolaborasi bersama MK K-Clique menerusi lagu Sinaran. 

“Namun saya melihat perkara ini ada hikmahnya kerana saya sebenarnya mengenali Nora sejak 25 tahun lalu.

“Saya juga baru mengetahui bahawa komposer lagu tersebut adalah kenalan lama saya, iaitu arwah Johan,” katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mini album Asmara Dansa di The Five, di sini, kelmarin.

Menurut Rossa, perkara itu juga sudah dibincangkan secara baik, malah hubungannya dengan Nora yang sudah terjalin lama memudahkan komunikasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Hormat Sheila Majid sebagai artis senior, Nora Ariffin tuntut royalti lagu Sinaran bukan kerana mahu jadi ‘joykiller’

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat penerbitan ‘berdiam diri’ punca royalti lagu Sinaran tertangguh, Nora Ariffin senaraikan 6 publisher terlibat

“Kami sudah berbual dan berbincang. Nora sedang memperjuangkan hak waris dan saya sangat memahami kedudukannya. Kebetulan pula saya menyanyikan semula lagu itu dan mengenali mereka.

“Alhamdulillah, komunikasi kami berjalan dengan lancar dan saya turut membantu menguruskan perkara ini,” katanya.

Dalam masa sama, Rossa menjelaskan isu bayaran royalti bukan perkara baharu dalam industri muzik, termasuk di Indonesia.

Rossa menganggap isu yang berlaku mempunyai hikmah. 

“Di Indonesia juga berlaku isu yang sama antara penyanyi dan pencipta lagu. Kebanyakannya membabitkan royalti yang tidak dibayar, jadi saya sangat memahami situasi ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Nora dilaporkan menyuarakan perkara berkenaan menerusi Instagram Story sebelum dihubungi Rossa bagi mendapatkan penjelasan.

Untuk rekod, Nora pernah membangkitkan isu royalti yang didakwa tidak setimpal diterima arwah Johan.

Lagu Sinaran dimuatkan dalam album Emosi dan antara karya paling ikonik yang dipopularkan Datuk Sheila Majid.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia