PELAWAK Achey menyambut baik larangan penggunaan media sosial bagi inidvidu bawah 16 tahun seperti yang disuarakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 39, berpendapat akaun media sosial kanak-kanak atau remaja yang kini bergelar pempengaruh perlu diuruskan oleh ibu bapa.
"Saya bersetuju dengan langkah itu, bagi saya ia membantu mengawal aktiviti jenayah siber yang semakin berleluasa ketika ini.

Achey akui akuan Tiara hanya aktif untuk tujuan kerja.
"Tapi bagi saya kalau ada media sosial pun terutama bagi pempengaruh kanak-kanak atau remaja, akaun tersebut dipegang oleh ibu bapa dan maklumkan perkara itu di profil mereka," katanya ketika dihubungi mStar.
Tambah Achey, anaknya iaitu Nur Tiara Zinnirah Nasir, 7, sememangnya mempunyai akaun media sosial peribadi, namun semuanya di bawah pengendalian dia dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya.
Malah akaun yang dimiliki juga lebih memfokuskan kepada perniagaan dan bukannya perkongsian peribadi.
"Anak saya tahu mengenai akuan media sosial dia, tapi semuanya diuruskan oleh saya dan isteri. Akaun itu juga lebih kepada perniagaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Impian miliki motosikal mewah jadi kenyataan, Achey terima kejutan daripada isteri dan anak
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Achey akur kerjaya sendu, kesal dakwaan perguna anak... Tak pernah paksa Tiara berniaga
"Kalau dia memuat naik sesuatu kami akan segera padam, memang kami selalu pantau apabila melihat dia bermain telefon bimbit," luahnya.
Menurut Achey, anaknya bukan selebriti yang dikenali ramai namun mempunyai peminat tersendiri yang sentiasa ingin tahu perkembangannya namun ia bukan kesempatan untuk memuat naik setiap perkara.
Jelasnya, anaknya juga tiada telefon bimbit sendiri, sebaliknya meminjam daripada dia atau isteri jika ingin menonton video kegemaran.
"Dia bukan selebriti tetapi orang mengenali dia, jadi untuk melebih-lebih itu sudah tentu tidak. Tapi saya rasa setiap video yang dikongsikan asalkan ada saya dan dia sudah tentu okay.

Tiara menjadi tumpuan kerana telatahnya yang mencuit hati.
"Pada usia ini pun dia lebih suka menonton kartun di media sosial cuma saya dan isteri sentiasa pantau. Tapi kalau dia tengok sendiri sesuatu di media sosial ia boleh dikawal namun berperingkat,"ujarnya.
Sekadar info, setakat ini akaun Instagram Tiara mempunyai lebih daripada 31,000 pengikut, manakala di TikTok pula melebihi 162,000 pengikut.
Untuk rekod, Achey dan isterinya mengambil Tiara sebagai anak angkat selepas kanak-kanak itu dilahirkan pada 2018.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital dengan larangan pembukaan akaun media sosial kepada individu bawah 16 tahun mulai tahun depan.
Katanya, penyedia platform dijangka melaksanakan pengesahan identiti elektronik electronic know your customer atau eKYC pada 2026 nanti.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


