HASRAT seorang lelaki untuk menyelamatkan kucing peliharaannya berakhir tragedi apabila dia maut selepas terjatuh dari bangunan flat kediamannya, lewat malam Rabu.Mangsa berusia 63 tahun itu ditemui terbaring di atas kawasan tanaman hiasan di blok kediamannya yang terletak di Jubilant Place, daerah Kowloon, Hong Kong, kira-kira pukul 11.27 malam. Menurut laporan, seorang pengawal keselamatan di bangunan berkenaan menghubungi polis selepas menemui lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kwong Wah di Yau Ma Tei untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.Polis memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai hilang imbangan sebelum terjatuh dari flatnya ketika cuba mengambil kucing peliharaannya yang berada di luar tingkap.Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui pokok yang rosak di dalam pasu serta kesan darah di kaki lima berhampiran tempat mangsa ditemui.Kucing berkenaan kemudiannya ditemui oleh pasukan paramedik sebelum diserahkan semula kepada keluarga mangsa.Polis turut memaklumkan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa. -Agensi