Lima sekeluarga ditemukan dalam keadaan menyayat hati akibat kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat pada awal pagi Khamis. -Foto Bernama
TIGA daripada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang ditemukan melecur dalam bilik air.Manakala dua lagi mangsa dijumpai dalam keadaan rentung di luar kediaman mereka. Mangsa yang maut ialah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pasangan suami isteri bersama seorang anak perempuan ditemukan dalam keadaan melecur di bilik air kediaman tersebut.Menurutnya, dua lagi anak perempuan dijumpai di luar rumah ketika anggota bomba tiba pada pukul 4.15 pagi dan dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran itu."Tiga mangsa ditemukan selepas operasi pemadaman selesai, manakala jarak antara mangsa di luar rumah dan dalam bilik air dianggarkan kira-kira enam meter.ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi menyayat hati 3 pagi, lima sekeluarga rentung dalam kebakaran di Raub"Mangsa yang berada di dalam bilik air dipercayai mencari tempat berhampiran sumber air untuk berlindung, namun asap tebal menyebabkan mereka sesak nafas,” katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.Hisham berkata, mangsa dipercayai menyedari kebakaran hanya selepas api marak, sekali gus menyukarkan mereka untuk keluar menyelamatkan diri.Siasatan awal mendapati kedua-dua laluan keluar rumah tidak dipasang jeriji besi dan boleh dibuka dengan mudah."Ketika mereka sedar kebakaran sudah merebak dan penglihatan mereka mungkin terhad akibat asap dan menyukarkan mereka mengambil tindakan."Semua fakta ini akan dirumuskan selepas siasatan di peringkat negeri. Unit pengesan anjing akan dikerahkan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika ada unsur lain terlibat," jelasnya.Terdahulu, Mohd Razam memaklumkan pihaknya tiba di lokasi pada 4.15 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 4.48 pagi.Dalam kejadian pukul 3.45 pagi pada Khamis itu turut memusnahkan keseluruhan struktur rumah selain turut melibatkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal.