Kebakaran turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal. -Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang
LIMA sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di Raub, Pahang awal pagi Khamis.Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3.35 pagi. “Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, “ katanya.Mohd Shahril berkata kesemua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dengan operasi pemadaman berjaya dikawal pada 4.48 pagi.Beliau berkata kebakaran berkenaan telah memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar.“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya.Mohd Razam berkata sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Raub terlibat dalam operasi itu, dengan bantuan lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis."Pegawai Penyiasat Kebakaran (FIO) Zon Lipis telah dimaklumkan bagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.