Tangkap layar video tular menunjukkan seorang wanita sedang minum air pada siang hari di bulan Ramadan.
SEORANG wanita yang didakwa makan dan minum secara terbuka ketika membuat siaran langsung di aplikasi TikTok pada empat Ramadan lalu ditahan pihak berkuasa.Wanita berkenaan ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kira-kira pukul 12 tengah hari pada Selasa di kediamannya di Kuala Pilah bagi membantu siasatan. Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya memandang serius penularan video berkenaan di media sosial pada 23 Februari lalu yang didakwa mengandungi unsur memperlekehkan agama.Asri memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit membuat siaran langsung sekitar pukul 6.45 petang pada 22 Februari lalu dan berinteraksi dengan para pengikutnya ketika kejadian berlaku."Dia berinteraksi bersama pengikutnya di media sosial berkenaan dan melakukan tindakan terbuka dengan makan dan minum ketika siaran langsung itu berlangsung," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Rakaman tular itu turut memaparkan wanita terbabit membaca serta membalas beberapa komen netizen ketika berada bersama seorang lelaki di sebelahnya."Saya? Agama Islam, awak. Minum dulu... tercekik. Haah saya dalam pantang."Ye bangga (tak puasa). Yang anda semua masuk live siapa suruh? Kenapa suka tunjuk (tak puasa)? Saja, tak boleh ke?," katanya memberi respon kepada beberapa komen netizen.Susulan insiden berkenaan, pemilik akaun tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas dakwaan menghina atau mencela agama Islam.Dalam pada itu, Asri menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya sentiasa menjaga sensitiviti agama dan menghormati kemuliaan Ramadan dengan mempamerkan akhlak serta tingkah laku yang selari dengan tuntutan syarak.