PENYANYI Black Hanifah mendedahkan dia sudah membuat laporan polis terhadap seorang pekerja yang didakwa melakukan pecah amanah sehingga menjejaskan operasi vila miliknya di Langkawi, Kedah.Black atau atau Hanifah Muhammad Hanafiah, 39, berkata tindakan pekerja tersebut menyebabkan dia mengalami kerugian bukan sahaja dari segi kewangan, malah kehilangan peluang menerima pelanggan yang ingin menginap di vila tersebut. Menurut Black, kira-kira 100 pelanggan terjejas selepas pekerja itu didakwa menyekat tempahan penginapan dalam talian sehingga tahun depan.“Saya sudah membuat laporan polis terhadap seorang pekerja atas pecah amanah yang telah dilakukan, membuatkan kami menanggung kerugian bukan dari wang ringgit tapi daripada segi pelanggan yang menginap di vila. Lebih kurang 100 orang, kalau dibahagikan harga satu malam kami boleh dapat lebih daripada RM100,000. “Pekerja itu tidak melayan mesej pelanggan yang bertanyakan tentang vila kami, malah dia block semua tempahan sampai tahun depan. Bermakna pelanggan tidak dapat menempah di dalam talian.Vila milik Black dijaga sepenuhnya oleh pekerja.“Nasib baik saya sedar awal dan buat laporan. Kini polis sedang menjalankan siasatan, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut,” katanya kepada mStar. Black berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Terlerai Sudah yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Jumaat. Dalam pada itu, Black berkata kejadian itu merupakan kali kedua dia berdepan pengalaman dikhianati pekerja meskipun selama ini melayan mereka dengan baik seperti ahli keluarga sendiri.Menurutnya, perkara tersebut turut memberi kesan kepada emosi dirinya dan keluarga, lebih-lebih lagi apabila mengetahui kejadian itu ketika sedang bercuti di luar negara.“Ini kali kedua saya dikhianati pekerja, saya melayan mereka dengan baik seperti keluarga sendiri. Anak-anaknya pun saya layan dengan baik. ARTIKEL BERKAITAN: Tayang kapal layar mewah dalam MV lagu baharu, Black bukan ‘tunjuk‘ kayaARTIKEL BERKAITAN: [V] Black Hanifah kena ‘scam’, dakwa individu lari daripada tanggungjawab urus konsert“Sebenarnya silap saya juga. Cara saya melayani pekerja itu salah, ingatkan pekerja itu sebagai satu keluarga juga tapi sebenarnya kita tak boleh anggap begitu.“Hal ini membuatkan saya dan keluarga terganggu emosi, kerana saya dapat tahu pengkhianatan ini ketika sedang bercuti di luar negara. Anak-anak saya turut terkesan kerana mendengar perbualan kami menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.Sementara itu, Black turut meluahkan rasa terkilan apabila timbul dakwaan di platform Threads yang mendakwa dia tidak membayar gaji beberapa individu selepas pulang ke tanah air.Bagaimanapun, penyanyi lagu Terlerai Sudah ini menafikan dakwaan berkenaan dan mempersoalkan mengapa dia perlu melakukan perkara sedemikian sedangkan sudah mempunyai nama dalam industri seni.Black menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut.“Bila pulang ke tanah air macam-macam lagi yang terjadi, ada beberapa individu yang memuat naik hantaran di Threads mendakwa saya tidak membayar gaji mereka. “Kalau ikutkan, saya ada nama dalam industri, kenapa saya nak buat perkara buruk ini (tak bayar gaji). “Banyak pencapaian yang saya dah capai, kalau saya buat begitu memang saya bodohlah. Saya tidak pernah menipu orang,” jelasnya.Meskipun berdepan situasi itu, Black berkata dia masih terbuka untuk memaafkan pekerja berkenaan sekiranya individu terbabit tampil memohon maaf kepadanya dan keluarga.Jelasnya, dia tidak mengharapkan perkara lain selain permohonan maaf secara baik, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak terbabit.Black turut memiliki perniagaan kapal layar mewah di Langkawi.“Saya orang yang sangat ringkas, hari ini marah, esok saya akan lupakan. Kalau dia datang, saya dah keluarga akan membuka seluas-luas pintu untuk menerima kedatangannya bagi memohon maaf. “Saya hanya nak dengar dia minta maaf sahaja, tapi sampai hari ini saya masih belum dengar permohonan maaf daripada pihaknya. “Tak pernah pun dia nak mesej pun, mungkin dia rasa dia betul. Kalau dia simpati dengan keluarga saya, datang saja minta maaf,” katanya.Untuk rekod, Black mengusahakan beberapa perniagaan di Langkawi, termasuk perniagaan vila, perkhidmatan kapal layar mewah dan sebuah kafe.Dua vila miliknya yang beroperasi di pulau peranginan itu ialah Rindu D'Villa dan Dayyan D'Villa.