RAMAI teruja dengan konsep 'tembikai tak campur air' yang diperkenalkan peniaga ini selepas perkongsian mengenainya tular di media sosial sejak Selasa.Menerusi hantaran wanita dikenali sebagai Aida Yasmin, dia pada awalnya sangsi dengan idea unik suaminya yang disifatkan boleh menjadi kegagalan atau mencetuskan sesuatu 'luar biasa'. Bagaimanapun, mereka tetap nekad mengambil risiko dengan menjual jus tembikai tanpa campuran air dan ais biasa, meskipun belum pasti bagaimana penerimaan orang ramai terhadap konsep berkenaan."Idea suami saya ni boleh jadi paling stupid (bodoh) atau paling brilliant (bernas), tak ada kemungkinan lain. Dia rancang nak jual air tembikai betul-betul 'piyor' (tulen) punya."Dia kata dekat bazar selalu orang claim jus tembikai ori tak campur air, lepas tu letak dalam balang isi ais juga. Sedangkan ais tu cair jadi air juga."Jadi idea dia ni jual jus tembikai dan aisnya pun, suami guna jus tembikai yang dijadikan kiub ais," jelasnya dalam hantaran di Threads.Pada awalnya mereka sekadar bertanya pendapat orang ramai sama ada konsep tersebut sesuai atau tidak untuk diteruskan. Idea jus tembikai tanpa air dan ais ini diperkenalkan suami Aida.Namun tidak disangka-sangka, gerai pasangan ini terus mendapat sambutan sehingga diserbu ramai pelanggan pada hari hantaran tersebut dibuat."Kami baru tanya okey tak kalau buat perniagaan air ni. Tiba-tiba ramai datang ni. Buat tak banyak pun harini (Selasa). "Terima kasih ya yang datang membeli, beratur tunggu lama tadi. Harini kita sold out ya. Insya-Allah hari Khamis pula kita buka ya," jelasnya dalam hantaran berkenaan.Difahamkan, pasangan ini berniaga makanan serta air jus tembikai tersebut di kawasan Kampung Batu Muda, Selangor.Di ruangan komen, rata-rata netizen memuji idea tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah bijak selari dengan kesedaran masyarakat masa kini terhadap pemakanan sihat."Untuk peniaga air tembikai yang lain, boleh ikut jejak abang ni. Saya sudah penat beli air tembikai tapi rasa sirap. Akhirnya saya buat sendiri, lagi sedap."Saya sengih dulu bila baca ni sebab saya terfikir mesti masa awak dengar idea suami tu buat kali pertama tu rasa macam sinis juga dia kan. Bila buat tak sangka dapat sambutan."Sebenarnya ini sangat bernas. 2026 ni memang kebanyakan sudah sedia maklum dengan makanan dan minuman berkhasiat atau tidak. Zaman membaca dan tengok video awareness sekarang."Konsep ini lebih baik berbanding air kordial atau guna pati yang ada campuran dengan ibu gula atau pewarna tu," komen beberapa netizen pada hantaran asal.Hantaran mengenai jus tembikai dibuat Aida itu kini meraih lebih 60,000 tanda suka dan 9,000 ulang siar serta menerima lebih 2,800 jumlah komen selepas dikongsikan.