Seorang bapa mendedahkan anak lelakinya menjadi mangsa gangguan seksual di tandas masjid. -Gambar Facebook Hafiz Mustafa
SEORANG bapa berkongsi pengalaman perit apabila anak lelakinya didakwa menjadi mangsa pedofilia oleh individu tidak dikenali di sebuah masjid di Terengganu pada penghujung Januari lalu.Menurut Hafiz Mustafa, pada malam kejadian dia membawa anaknya ke masjid untuk menunaikan solat Isyak. Hafiz berkata, anaknya yang dinamakan Nuh berusia lingkungan tujuh tahun itu ada masanya tidak bersolat dan hanya bermain bersama rakan-rakan di sekitar masjid."Lepas solat, dia datang dekat aku dan cerita satu per satu apa yang terjadi masa jemaah tengah solat. "Masa dia tengah susun selipar dekat pintu masuk, tiba-tiba datang seorang lelaki dengan motosikal tanya lokasi tandas."Nuh tunjuk arah tandas. Kemudian, abang tu minum air. Lepas tu dia ajak Nuh teman ke tandas," kongsinya di Facebook.Di tandas, Nuh mendakwa lelaki itu melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya."Aku ringkaskan, air liur lelaki tu melekat pada kemaluan anak aku. Dan Alhamdulillah, tak ada berlaku sebarang tusukan pada mana-mana rongga Nuh."Kejadian berlaku sekitar empat minit sahaja. Apabila keluar dari tandas, dia terus berlalu dengan motosikal dan Nuh masuk dalam masjid. Tak sampai seminit lepas tu, jemaah siap solat," katanya.Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berjaya merakam pergerakan suspek dan laporan polis telah dibuat.Jelasnya, wajah lelaki yang dianggarkan berusia antara 25 hingga 29 tahun itu juga jelas kelihatan dalam rakaman berkenaan."Bawa anak ke masjid tak salah. Yang salah ialah persekitaran kita sekarang... orang gila semakin ramai."Kepada ibu bapa tolong waspada selalu. Tolong berhati-hati apabila bawa anak ke tempat awam seperti masjid. Lebih-lebih lagi pada musim solat tarawih ni," katanya.Dalam pada itu, Hafiz bersyukur anaknya tidak mengalami trauma dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.