ASAP kebakaran hutan dan tanah (karhutla) dari Kalimantan dikesan sampai ke atmosfera Jakarta, Indonesia, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kesannya terhadap kualiti udara.Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengesan taburan asap itu menerusi pemantauan imej satelit pada Jumaat, pukul 1 tengah hari waktu tempatan. Selain Jakarta, asap turut dikesan di puluhan wilayah lain termasuk Sumatera, Banten, Jawa Barat, Jawa Timur, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Papua.Setiausaha Utama BMKG, Guswanto berkata, pengesanan asap di atmosfera tidak semestinya bermaksud penduduk terdedah kepada kepekatan bahan pencemar yang tinggi.Menurutnya, pemantauan lanjut perlu dilakukan bagi menentukan sama ada asap berkenaan sudah menjejaskan kualiti udara di permukaan bumi atau masih berada di lapisan atmosfera lebih tinggi.“Risiko kesihatan lebih ditentukan oleh data kualiti udara semasa, khususnya kepekatan zarah halus PM2.5 dan Indeks Kualiti Udara (AQI), bukan hanya imej satelit taburan asap,” katanya, menurut laporan detikHealth.Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan memantau bacaan kualiti udara dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan tidak sihat.Mereka yang perlu keluar rumah disarankan memakai pelitup muka jenis N95, KN95 atau KF94 bagi membantu menapis zarah halus daripada asap.Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah jantung atau pernafasan turut diminta mengelakkan pendedahan kepada asap.Orang ramai juga digalakkan menutup pintu dan tingkap ketika udara di luar tercemar, menggunakan alat penulen udara jika tersedia serta mengelakkan aktiviti yang menambah pencemaran seperti pembakaran sampah.Mereka yang mengalami batuk berpanjangan, sesak nafas, mata pedih atau merah, sakit tekak, pening atau sakit dada pula dinasihatkan segera mendapatkan rawatan perubatan.-Agensi