Mayat seorang jururadiografi ditemukan terapung dalam sungai berhampiran Masjid Seberang Pumpong, pagi Rabu.
MAYAT seorang wanita ditemukan terapung di sungai berhampiran Masjid Seberang Pumpong dekat Alor Setar, pagi Rabu.Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung penemuan tersebut kira-kira pukul 8.27 pagi. Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai jururadiografi di sebuah klinik di Jitra. Ujarnya, waris mangsa iaitu bapanya juga memaklumkan bahawa kali terakhir mangsa dilihat bersama keluarga adalah pada pukul 7.31 malam Selasa ketika berbuka puasa."Mangsa juga dilaporkan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan masih menjalani rawatan," katanya sambil menambah, mangsa mempunyai tiga anak lelaki yang kini berada dalam jagaan bekas suaminya di Kulim.Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.